Kenapa tangguh sidang DUN, soal Adun PAS Perlis

shukri ramli
Adun PAS Shukri Ramli berkata sidang DUN Perlis yang dijadual pada 21 hingga 23 April ini penting kerana terdapat banyak isu tertunggak yang memerlukan jawapan daripada kerajaan negeri.

PETALING JAYA: Adun PAS di Perlis memberi tempoh seminggu kepada menteri besar untuk menjelaskan mengapa sidang DUN yang dijadualkan bermula pada 21 April ini ditangguhkan secara tiba-tiba tanpa sebarang alasan munasabah.

Adun Sanglang, Shukri Ramli berkata penangguhan itu sesuatu luar biasa kerana dibuat tanpa sebarang kecemasan seperti bencana alam, kematian individu terdekat atau penularan wabak penyakit, lapor Berita Harian.

Shukri berkata beliau dapat tawaran menunaikan haji dengan jadual penerbangan ke Tanah Suci pada 18 April tetapi disebabkan Sidang DUN, beliau memohon kepada Tabung Haji untuk tangguh penerbangan ke 3 Mei.

“Tiba-tiba dewan pula ditangguhkan, ini sesuatu yang amat dikesali,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Mata Ayer, di Padang Besar.

Beliau turut mewakili lima lagi Adun PAS berkata menegaskan persidangan itu penting kerana terdapat banyak isu tertunggak yang memerlukan jawapan daripada kerajaan negeri.

Antara isu tersebut termasuk kelancaran pelaburan, pengurusan pemberian geran tanah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) dan kelulusan penubuhan pihak berkuasa tempatan (PBT) Padang Besar.

Shukri, yang juga bekas menteri besar Perlis, beliau turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak dilibatkan langsung dalam perbincangan berhubung penangguhan tersebut.

Dalam surat bertarikh 17 April, Setiausaha DUN Anwar Shahul Hameed memaklumkan pembukaan dan mesyuarat pertama penggal keempat DUN yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 23 April ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian.

Tiada sebab diberikan bagi penangguhan itu.

Sidang itu sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Disember 2025, apabila beberapa Adun Perikatan Nasional menarik sokongan terhadap menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Lapan Adun PN termasuk tiga dari PAS dan lima dari Bersatu, dilaporkan telah mengemukakan akuan bersumpah untuk menarik sokongan.

Shukri meletak jawatan pada 25 Dis dengan alasan masalah kesihatan. Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, kemudiannya dilantik sebagai menteri besar.

Author: admin