Wakil rakyat PAS gesa ‘blacklist’ pemandu mabuk seumur hidup

kemalangan mabuk
Seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Klang, semalam.

PETALING JAYA: Wakil rakyat PAS menggesa kerajaan melaksanakan hukuman lebih tegas terhadap pemandu mabuk termasuk menyenarai hitam daripada memandu seumur hidup.

Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin, berkata pemandu di bawah pengaruh alkohol bukan sekadar melanggar undang-undang malah menjadi ancaman nyata kepada nyawa orang lain.

“Saya menegaskan kerajaan perlu memperkasa pelaksanaan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, khususnya Seksyen 44 dan 45A, dengan mengenakan hukuman lebih tegas kepada pesalah pemandu mabuk.

“Tidak perlu lagi sekadar menggantung lesen, pesalah wajar terus dihitamkan (blacklist) seumur hidup daripada memandu,” katanya dalam kenyataan.

Khairil turut mencadangkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000 dilaksanakan secara konsisten tanpa kompromi.

“Saya ulang, tiada lagi kompromi terhadap mereka yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk. Berapa ramai lagi perlu terkorban?

“Berapa banyak lagi keluarga perlu menangis? Keadilan mesti ditegakkan. Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, perlu lakukan sesuatu,” katanya.

Semalam, media melaporkan seorang penunggang motosikal maut dirempuh kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian di Klang.

Ketua Polis Klang Selatan, Lim Jit Huey, berkata impak pertembungan mengakibatkan mangsa berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas kereta berasingan dalam nahas sekitar 11.40 pagi.

Sementara itu, Pemuda PAS sedia menawarkan khidmat guaman sukarela kepada keluarga mangsa bagi tuntutan undang-undang yang seadilnya.

“Kematian mangsa mesti dibela, kes pemandu mabuk yang melanggar dan membunuh nyawa yang tak berdosa mesti dinoktahkan segera,” kata Ketua Pemuda, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

Author: admin