Kuil tak sah di tanah UKM, pengurusan mahu selesai secara berhemah

Tular di media sosial memaparkan papan tanda ‘Tanah Milik UKM – Penceroboh Akan Didakwa’ yang berada bersebelahan satu rumah ibadat.

PETALING JAYA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan membawa isu pembinaan kuil tidak sah di tanahnya ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (Limas) Negeri Selangor.

UKM dalam kenyataan, menyebut mahu perkara itu diselesaikan secara tuntas memandangkan perkara itu memerlukan pendekatan berhati-hati serta berperingkat tanpa mengambil tindakan agresif atau tergesa-gesa.

“Pihak UKM akan terus memantau perkembangan serta bergantung kepada tindakan pihak berkuasa yang berkenaan untuk langkah seterusnya.

“UKM menyeru semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan sesama komuniti,” katanya menurut kenyataan itu.

UKM mengulas demikian susulan keprihatinan masyarakat berkait isu tular mengenai pembinaan kuil di kawasannya.

Bagi mencari penyelesaian, UKM terdahulu sudah mengadakan perbincangan bersama kerajaan Selangor berhubung isu penempatan kuil tidak sah di atas sebahagian tanah universiti.

“Sebarang tindakan perlu melalui prosedur ditetapkan serta melibatkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa, termasuk kerajaan Selangor bagi memastikan penyelesaian menyeluruh, berhemah, dan tidak menyinggung mana-mana pihak.”

Sebelum ini, tular foto di X memaparkan papan tanda ‘Tanah Milik UKM – Penceroboh Akan Didakwa’ yang berada bersebelahan satu rumah ibadat.

Author: admin