Bekas CEO 1MDB tak tahu sebab digugurkan daripada saman USD5.64 bilion

Shahrol Azral
Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi beritahu Mahkamah Tinggi beliau tak tahu sebab namanya digugurkan sebagai defendan dalam saman 1MDB.

KUALA LUMPUR: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau tidak mengetahui mengapa syarikat itu menggugurkan namanya sebagai defendan dalam saman sivil sebanyak USD5.64 bllion.

Ketika memberikan keterangan sebagai saksi plaintif keempat pada prosiding hari ini, Shahrol Azral, 56, berkata beliau tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan kerajaan untuk digugurkan daripada saman berkenaan dan tidak pernah diberikan sebarang penjelasan di sebalik keputusan itu.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam GK Ganesan, yang mewakili bekas pengarah pelaburan 1MDB Kelvin Tan Kay Jin, iaitu defendan ketujuh dalam saman itu.

Ketika ditanya Ganesan sama ada namanya kemudian digugurkan sebagai defendan dalam saman itu, Shahrol Azral mengakuinya namun memaklumkan beliau tidak mengetahui sebab namanya digugurkan.

Ganesan turut bertanya sama ada beliau menandatangani sebarang penghakiman persetujuan dengan 1MDB susulan digugurkan sebagai defendan, namun Shahrol Azral mengesahkan beliau tidak pernah membuat sebarang perjanjian sedemikian.

Shahrol Azral turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah, yang mewakili defendan kelima iaitu bekas pengarah pelaburan dan ketua pegawai pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bahawa beliau cuba mengaitkan semua pihak lain sambil melepaskan dirinya daripada tanggungjawab dalam skandal berbilion ringgit yang membabitkan dana kekayaan negara itu.

Terdahulu, peguam Shafee Abdullah, yang mewakili defendan pertama iaitu Najib Razak, memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan empat hari untuk menjalankan pemeriksaan balas terhadap Shahrol Azral.

Peguam yang mewakili defendan lain pula memaklumkan masing-masing memerlukan sekurang-kurangnya dua jam untuk menjalankan pemeriksaan balas itu.

Mahkamah kemudian meneruskan prosiding dengan pemeriksaan balas terhadap Shahrol Azral oleh peguam yang mewakili defendan lain.

1MDB dan anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.

Dalam saman itu, Najib, bekas pengarah kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas pengarah eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo Ai Swan, Vincent Beng, bekas ketua pegawai kewangan Radhi Mohamad, Kelvin Tan serta bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil dinamakan sebagai defendan.

Minggu lepas, 1MDB bersetuju menghentikan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula. Sebelum itu, 1MDB turut menggugurkan nama Loo daripada saman itu.

Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung esok.

Author: admin