Caprice diperintah bayar Ebit Lew RM220,000 kerana fitnah

caprice
Ariz Ramli yang lebih dikenali sebagai Caprice, turut diperintahkan menarik balik tujuh kenyataan mengenai pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew dalam tempoh 48 jam. (Gambar Bernama)

PPETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Shah Alam memerintahkan pempengaruh media sosial Ariz Ramli, yang lebih dikenali sebagai Caprice, membayar ganti rugi RM220,000 dengan kos kepada pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew kerana memfitnahnya.

Hakim Zuhrina Nor memutuskan Ariz, 40, memfitnah pendakwah bebas itu menerusi tujuh kenyataan yang dibuat pada 2023 bersama seorang pempengaruh media sosial Indonesia yang dikenali sebagai Mondy Tattoo.

Mahkamah turut memerintahkan Ariz membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan berkenaan dalam tempoh 48 jam, lapor Sinar Harian.

Pada September 2023, Ariz memuat naik klip video daripada satu episod podcast yang menampilkan Mondy sebagai tetamu.

Ebit mendakwa tujuh kenyataan dalam klip itu memberi gambaran bahawa beliau melakukan penderaan seksual terhadap wanita Indonesia berkenaan serta seorang yang tidak bertanggungjawab dan mempergunakan agama, sekali gus menjejaskan reputasinya.

Menurut Ebit, Ariz bertindak dengan niat jahat apabila menerbitkan video itu tanpa terlebih dahulu mengesahkan fakta, sehingga menyebabkan beliau menjadi sasaran komen negatif di media sosial.

Ebit diwakili peguam Akberdin Abdul Kader, manakala Ariz diwakili Rezan Ezra Mosinal.

Author: admin