
PETALING JAYA: Sebuah jawatankuasa khas Parlimen mahu mengundang menteri pendidikan tinggi bagi membincangkan secara mendalam cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Pengerusi Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Saifuddin Abdullah, berkata ahlinya mencapai kesefahaman untuk mengundang Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, perkara berkenaan memerlukan penelitian serius kerana Auku bukan sekadar mengawal kebebasan dan disiplin mahasiswa, tetapi merupakan akta induk berkaitan penubuhan serta pentadbiran universiti dan kolej universiti.
“Maknanya, jika Auku dimansuhkan ia perlu ada penggantinya,” katanya dalam kenyataan.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Auku selepas beberapa pindaan terhadap akta itu masih tidak memuaskan mahasiswa yang mahukan kebebasan lebih luas.
Auku yang diperkenalkan pada 1971 sudah melalui tujuh pindaan, termasuk pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus dan pindaan terbaru pada 2024 yang antara lain memberi badan pelajar lebih ruang mengumpul dana serta menerima sumbangan.
Saifuddin yang juga pengerusi portfolio pendidikan Perikatan Nasional (PN) berkata, gabungan itu menerusi Cadangan Reformasi Pendidikan diterbitkan pada September 2024 turut mengesyorkan Auku digantikan dengan undang-undang baharu yang lebih baik dan komprehensif.
Menurutnya, usaha memperluaskan kebebasan mahasiswa juga tidak boleh bergantung kepada perubahan undang-undang semata-mata kerana terdapat pengurusan sesetengah universiti yang didakwanya bersifat ‘drakonian’ dan menyalahgunakan Auku untuk menyekat mahasiswa.
Saifuddin yang juga setiausaha agung Parti Wawasan Negara (Wawasan) berkata, ruang kebebasan mahasiswa yang masih terbatas boleh ditambah baik melalui pindaan undang-undang, tetapi amalan pengurusan universiti yang negatif perlu diperbetulkan pada peringkat pentadbiran.
“Ia melibatkan soal yang lebih luas iaitu soal roh universiti. Soal kecemerlangan akademik yang punya roh.
“Sebahagian daripada kandungan dan proses mencapai kecemerlangan akademik yang punya roh ini melibatkan soal kebebasan mahasiswa dan ahli akademik,” katanya.
