
PETALING JAYA: Tiga laporan berkaitan dakwaan struktur patung sebuah rumah ibadat bukan Islam di Bukit Tinggi, Bentong dirosakkan diterima polis semalam.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata laporan itu dibuat seorang pengawal keselamatan berusia 49 tahun, sami (45 tahun) dan lelaki tempatan berumur 41 tahun pada 1.51 pagi, 2.32 pagi serta 4.35 petang semalam.
“Pihak polis telah ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan kuil serta tiada saksi bebas yang melihat kejadian tersebut berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengenal pasti punca dan pihak terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat, khususnya melalui media sosial, yang boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kegusaran awam.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini hendaklah disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.”
