Auku: Mansuh saja tak cukup, perlu kerangka perundangan baharu, kata naib canselor

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia Mas Fawzi Mohd Ali berkata pemansuhan Auku berpotensi perluas kebebasan bersuara, perkukuh demokrasi kampus dan menggalakkan aktivisme bertanggungjawab. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Cadangan pemansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) perlu disusuli kerangka perundangan pendidikan tinggi lebih komprehensif bagi memastikan autonomi universiti dan mahasiswa tidak menjejaskan tadbir urus serta akauntabiliti institusi.

Bagaimanapun, Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mas Fawzi Mohd Ali, berkata autonomi itu juga perlu disertai sistem semak dan imbang yang kukuh.

Jelasnya, isu utama bukan sekadar sama ada Auku perlu dimansuhkan, sebaliknya bentuk kerangka perundangan baharu yang lebih sesuai dengan perubahan landskap pendidikan tinggi.

“Autonomi yang lebih besar membawa tanggungjawab yang lebih besar dan mahasiswa perlu faham etika, integriti, undang-undang dan kesan setiap tindakan,” katanya.

“Jika Auku dimansuhkan, ia perlu dilihat sebagai reformasi menyeluruh, bukan sekadar penghapusan akta. Yang penting ialah membina kerangka baharu yang lebih komprehensif dan harmoni,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, kebebasan mahasiswa penting dalam membentuk pemikiran kritis, kepimpinan dan kematangan intelektual, termasuk memberi ruang kepada mereka untuk bersuara, mengkritik berasaskan fakta serta terbabit dalam aktiviti sosial dan pembangunan negara.

“Pemansuhan Auku berpotensi memperluas kebebasan bersuara, mengukuhkan demokrasi kampus dan menggalakkan aktivisme bertanggungjawab, selain meningkatkan autonomi mahasiswa serta institusi,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Sabtu lalu, mengumumkan Auku akan dimansuhkan kerana masih terdapat perkara yang belum memuaskan hati mahasiswa selepas beberapa pindaan dilakukan.

Auku melalui tujuh pindaan sejak diperkenalkan pada 1971. Pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

Sementara itu, Mas Fawzi berkata beliau melihat Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai langkah penting ke arah transformasi pendidikan tinggi negara, termasuk pengukuhan kepimpinan berautonomi dan ekosistem lebih kolaboratif.

Seiring itu, katanya, agenda One Higher Education Act (OHEA) dalam RPTM 2026-2035 dilihat sebagai usaha menyusun semula perundangan pendidikan tinggi supaya lebih relevan dengan keperluan masa depan.

“Reformasi ini bukan sekadar menggantikan undang-undang, tetapi membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih matang, dipercayai dan bertanggungjawab.

“Universiti bukan ruang untuk menyekat pemikiran dan bukan juga ruang tanpa tanggungjawab. Kita perlu budaya kampus yang seimbang antara kebebasan, keberanian dan kebijaksanaan,” katanya.

Author: admin