
PETALING JAYA: Parti Bangsa Malaysia (PBM) melantik Ronnie Liu sebagai ketua penerangan selepas seminggu menyertai parti itu.
Setiausaha Agung PBM, Munan Laja, berkata Majlis Tertinggi parti memutuskan melantik bekas veteran DAP itu ke jawatan berkenaan pada satu mesyuarat hari ini.
PBM turut membuat beberapa pelantikan lain — William Low (timbalan ketua penerangan), Benny Sieh (bendahari agung), dan Sieh Ing Qing (timbalan bendahari agung).
Munan berkata, Presiden Larry Sng melantik Engga Unchat dan Saarah Ali Bashah dalam Majlis Tertinggi di bawah kuota pelantikan presiden.
“Pelantikan ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi kepimpinan dan jentera PBM, di samping meningkatkan semangat kerjasama serta komitmen semua pihak dalam membawa parti ke tahap yang lebih tinggi.
“PBM yakin barisan kepimpinan yang diperkukuhkan ini akan terus memberikan sumbangan yang positif dalam memperluaskan gerak kerja parti serta memperkasakan perjuangan dan aspirasi PBM untuk rakyat,” kata Munan dalam kenyataan.
Liu, bekas Adun Sungai Pelek di Selangor, mengumumkan menyertai PBM pada 9 Ogos.
Katanya, beliau memilih menyertai PBM susulan perbincangan bersama Sng mengmabil kira hala tuju politik parti tersebut paling dekat dengan jiwanya, manakala pengalaman mereka saling melengkapi, dengan Sng lebih arif mengenai Borneo, manakala Liu di Semenanjung.
Sebelum ini, Sng menyifatkan penyertaan Liu dalam PBM menjadi sebahagian usahanya meluaskan kepimpinan PBM.
Namun, penganalisis politik menyuarakan kesangsian dengan rancangan PBM yang berpangkalan di Sarawak untuk meluaskan pengaruhnya di Semenanjung, selain menjangkakan hanya memberi impak kecil walaupun Liu mengetuai usaha itu.
