Motosikal terbabas, lelaki hilang ditemukan maut dalam longkang

Seorang pekerja pembersihan potong rumput di lokasi terhidu bau busuk sebelum jumpa rangka manusia bersama sebuah motosikal di dalam longkang di KM155.7 WCE semalam. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 29 Julai lepas ditemukan dalam longkang bersama motosikalnya di KM155.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan di Ipoh semalam.

Ketua Polis Bagan Datuk Mohammad Ali Mohd Jali berkata, rangka lelaki berusia 35 tahun itu ditemukan selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas di lokasi kejadian.

Beliau berkata, polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 3.39 petang selepas pekerja pembersihan yang sedang memotong rumput di lokasi itu terhidu bau busuk sebelum menemukan rangka manusia bersama sebuah motosikal di dalam longkang.

Hasil siasatan awal, katanya, dipercayai mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Teluk Intan menghala ke Sabak Bernam sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjatuh masuk ke dalam longkang.

“Mangsa tidak mendapat bantuan sehingga (penemuan rangka) disedari,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Turut ditemukan bersamanya, barang peribadi seperti telefon bimbit, pasport Malaysia dan wang tunai dipercayai milik mangsa.

Mohammad Ali berkata, semakan lanjut mendapati satu laporan polis berhubung kehilangan mangsa telah dibuat oleh ahli keluarganya di Balai Polis Teluk Intan pada 5 Ogos.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Normah Abu Hassan di talian 010-536 4619.

Kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Author: admin