
KUALA LUMPUR: Polis merampas rokok seludup dan peranti rokok elektronik atau vape bernilai lebih RM12.7 juta dalam siri serbuan di Lembah Klang, menjadikan rekod nilai rampasan keseluruhan tahun ini meningkat kepada RM280.4 juta.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Yusri Hassan Basri, berkata kejayaan terbaru itu direkodkan menerusi Ops Taring Alpha 1 dan 3.
“Tiga warga tempatan ditahan dan 166 peti mengandungi lebih 1.6 juta batang rokok bernilai kira-kira RM3.3 juta dipercayai tidak bercukai dirampas dalam Ops Taring Alpha 1 di sebuah premis di Puchong, Selangor pada 27 Julai lalu,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, lima individu ditahan dengan pelbagai produk vape bernilai RM9.4 juta dirampas menerusi Ops Taring Alpha 3 di sebuah premis di Batu Caves, Selangor pada 28 Julai lalu.
Jelasnya, rampasan itu membabitkan 131,036 kotak produk vape, 4,900 botol cecair vape serta 25,510 peranti pelbagai jenama dengan anggaran harga pasaran antara RM50 hingga RM400 seunit.
Menurutnya, semua suspek dan barang kes diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Perintah Perihal Dagangan 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024.
Katanya, kebanyakan barang kontraban itu diseludup dari China melalui laluan laut, sebelum disimpan di stor sekitar Lembah Klang untuk diedarkan kepada peruncit bagi pasaran tempatan.
“Siasatan awal mendapati sindiket penyeludupan menggunakan modus operandi membuat pengisytiharan palsu di pintu masuk bagi mengaburi pihak berkuasa ketika cuba menyeludup masuk barangan tersebut.”
Mengenai pencapaian keseluruhan Jabatan KDNKA, Yusri berkata, Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas merekodkan 236 kes dan 411 tangkapan di seluruh negara sepanjang tujuh bulan tahun ini.
Jelasnya, pencapaian cemerlang dengan nilai rampasan mencecah RM280.4 juta itu membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan bersama pelbagai agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Fokus utama Jabatan KDNKA tidak akan terhenti setakat operasi rampasan semata-mata, sebaliknya akan terus menjejaki dan melumpuhkan keseluruhan rangkaian sindiket sehingga ke peringkat dalang utama.”
Beliau memberi amaran polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak kerana jenayah penyeludupan dan perdagangan haram menyebabkan ketirisan hasil negara serta mengancam kesejahteraan masyarakat.
