
PETALING JAYA: Kekalahan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook di kerusi Chennah dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini membangkitkan persoalan sama ada ahli politik senior DAP patut memegang kerusi Parlimen dan DUN pada masa sama.
Loke sedang berkhidmat bagi penggal ketiga sebagai Ahli Parlimen Seremban, dan pada masa sama beliau juga menteri pengangkutan. Sehingga Isnin lalu juga beliau ketua DAP Negeri Sembilan, namun melepaskan jawatan itu sebagai mengambil tanggungjawab atas kekalahan dua kerusi DUN parti.
Loke kalah kepada calon MCA Siow Kong Choon di Chennah dengan 688 undian pada Sabtu, seterusnya menafikannya meneruskan penggal keempat sebagai Adun di situ. Rakan separti Veerapan Supramaniam kalah di Repah kepada Koh Kim Swee, juga dari MCA.

Penganalisis Asrul Sani berkata, persoalannya adalah sama ada meletakkan calon berprofil tinggi di kedua-dua peringkat masih membawa kelebihan dalam proses pemilihan seperti dulu.
Asrul yang juga naib presiden The Asia Group berkata, landskap pilihan raya telah beralih sejak 2018 ketika golongan pengundi begitu menginginkan perubahan politik.
“Meletakkan pemimpin kebangsaan berprofil tinggi (ketika itu) mampu menaikkan semangat pengundi,” katanya kepada FMT.
“(Namun) selepas dua pentadbiran PH berturut-turut di Negeri Sembilan, dan kembalinya PH menerajui kerajaan persekutuan, kini kelesuan pengundi semakin ketara,” katanya.
Beliau menyifatkan sentimen itu akibat rasa tidak puas hati yang semakin membuak terhadap prestasi gabungan itu.
“Senioriti dan ketokohan tidak lagi memberikan kelebihan sama dalam pilihan raya. Sebaliknya, ini mungkin menyebabkan calon dikritik terlalu banyak tanggungjawab sehingga tidak dapat memfokuskan terhadap isu setempat dengan sebaiknya.”
Asrul mengakui bertanding di peringkat DUN dan Parlimen masih mempunyai kelebihan dari segi taktik kerana memberikan parti fleksibiliti untuk mengetengahkan pemimpin berprofil tinggi untuk mempertahankan kerusi marginal, memacu kempen negeri, dan membawa isu setempat terus kepada kerajaan persekutuan.
Katanya, ini jelas berkesan apabila pengundi dimotivasikan dengan impian perubahan dan pemimpin pembangkang kanan mendapat sokongan kuat- namun katanya perkara ini tidak lagi terpakai memandangkan PH kini berkuasa.
Sebaliknya, katanya, ahli politik seperti itu mungkin nampak terlalu banyak tanggungjawab, khidmat di kawasan terjejas, dan pemimpin tempatan muda dinafikan peluang untuk membina pangkalan pengundi sendiri.
“Ia juga menyebabkan risiko politik terlalu difokuskan terhadap bilangan pemimpin kanan yang kecil. Apabila salah seorang daripadanya kalah, parti bukan saja kehilangan kerusi malah juga orang kuat dalam kempen.”

Oh Ei Sun, penasihat utama di Pacific Research Centre of Malaysia membangkitkan isu berkaitan mengenai kesan dwipencalonan dalam penggantian kepimpinan.
Oh berkata parti lazimnya mengutamakan calon yang paling tinggi peluang untuk menang, dan disebabkan itu pemimpin popular kerap dicalonkan untuk kerusi Parlimen dan DUN.
Bagaimanapun, beliau kata parti juga patut membentuk pemimpin muda dengan membiarkan pemimpin kanan yang memegang kerusi Parlimen melepaskan kerusi DUN mereka untuk memberi peluang kepada ahli baharu bertanding.
Katanya, mengasingkan dua peranan itu patut menjadi norma khususnya memandangkan hanya ada beberapa kes dwiperanan dalam DAP.
“Ideanya adalah untuk membentuk lebih ramai pemimpin masa depan,” katanya.
“Berkhidmat sebagai Adun dan Ahli Parlimen agak sukar, khususnya apabila dua kawasan berkenaan bukan di lokasi sama,” katanya.
