Ahli Parlimen PKR Rodziah dakwa akses dana kawasan disekat

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, berkata tiada penjelasan rasmi diterima daripada Pejabat Perdana Menteri. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail mendakwa kawasannya disekat mengakses sistem MyKHAS sejak 29 Julai, sekali gus menjejaskan penyaluran peruntukan serta bantuan komuniti.

Beliau berkata, tindakan itu menjejaskan pengurusan peruntukan kawasan bagi membantu golongan rentan, termasuk warga emas, OKU, pesakit kronik, dan institusi tempatan di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR).

Katanya, beliau masih anggota PKR dan blok penyokong kerajaan yang menyokong dasar kerajaan perpaduan, serta tidak pernah menentang parti sepanjang 28 tahun berkhidmat.

“Ini menampakkan pilih kasih apabila enam Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan menerima peruntukan, tetapi saya sendiri dinafikan,” katanya menerusi satu rakaman video di Facebook.

Rodziah berkata, sehingga kini tiada sebarang penjelasan rasmi diterima berhubung penarikan peruntukan tersebut meskipun surat rasmi telah dihantar kepada Pejabat Perdana Menteri.

“Jika ada isu teknikal atau apa pun, saya minta pencerahan untuk memudahkan penjelasan saya semula kepada rakyat,” katanya.

Namun, beliau berkata, apa sahaja tekanan dilakukan tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus berkhidmat.

“Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang akan terus dibuka, khidmat rakyat akan terus diperkasa. Saya akan terus mempertahankan prinsip reformasi, akauntabiliti, bertanggungjawab, dan meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya.”

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen dilaporkan mendakwa hilang akses kepada peruntukan kawasan menerusi sistem myKHAS.

Lee mendakwa, sekatan itu menjejaskan urusan berkaitan peruntukan kawasan dan PMR, sambil mempersoalkan sama ada ia mempunyai kaitan faktor politik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagaimanapun menolak dakwaan itu, sebaliknya menegaskan peruntukan disalurkan secara terus kepada komuniti dan projek pembangunan.

Author: admin