
PETALING JAYA: Kerajaan patut mendedahkan kemajuan pelaksanaan syor suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ke atas Tabung Haji bagi meningkatkan keyakinan awam, kata sebuah badan pemikir.
Menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), kerajaan juga perlu mengenal pasti baki syor yang belum diselesaikan serta menetapkan garis masa pelaksanaannya.
“Ketelusan bukan sahaja perlu dizahirkan melalui penerbitan laporan siasatan, malah turut meliputi pelaksanaan saranan yang dikemukakan,” kata Ideas dalam kenyataan.
Badan pemikir itu berkata demikian sebagai respons kepada penjelasan menteri hal ehwal agama Zulkifli Hasan pada 30 Julai bahawa kerajaan telah pun melaksanakan kira-kira 75% daripada 25 syor RCI.
Zulkifli turut memaklumkan bahawa kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan baki syor terbabit, termasuk mengehadkan bidang kuasa menteri hal ehwal agama dalam pengurusan haji.
Laporan RCI setebal 252 muka surat berhubung siasatan ke atas pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 dinyahklasifikasi dan didedahkan pada Rabu, selepas suruhanjaya itu menyiapkannya pada Julai 2022.
Hasil siasatan RCI antara lain mendapati TH menyembunyikan kedudukan kewangan sebenarnya bertahun-tahun lamanya, mencatatkan keuntungan RM3.4 bilion bagi 2017 sedangkan ia sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion mengikut piawaian perakaunan yang betul, defisit hampir RM4.8 bilion.
