
PETALING JAYA: Lima pegawai imigresen direman selama tiga hari kerana disyaki bersubahat menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi mendapatkan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Perintah reman terhadap empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Kesemua suspek direman sehingga Khamis.
Menurut sumber, mereka ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati kesemua pegawai ini disyaki bersubahat menggodam MyIMMs, selain membantu proses mendapatkan kelulusan PLKS tanpa mengikut prosedur sah.
“Susulan tangkapan itu, SPRM menyita lima telefon bimbit milik suspek,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Abd Halim Aman mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
