Akmal pertahan gelar Teresa Kok ‘nyonya tua’, sebut faktor usia

Akmal Saleh and Teresa Kok
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok saman Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berhubung satu video yang dimuat naik di TikTok, Facebook dan Instagram pada 7 Sept 2024.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh mempertahankan tindakannya menggelar Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai ‘nyonya tua’ atas faktor usianya, walaupun seorang bekas menteri menyifatkan kenyataan tersebut sebagai ‘keterlaluan dan menjatuhkan maruah’.

“Berkenaan rujukan kepada plaintif sebagai ‘nyonya tua’, itu pendapat saya mengenai usia plaintif, yang saya percaya adalah satu pemerhatian yang benar,” kata Akmal dalam pernyataan saksi yang difailkan di Mahkamah Tinggi Melaka.

Akmal juga berkata, gesaannya agar kerajaan meletakkan logo tidak halal pada dahi Kok adalah sekadar kiasan, menambah bahawa ‘secara logiknya, ia tidak boleh difahami sebagai satu kenyataan fakta’.

Beliau berkata, beliau marah dan kecewa dengan kenyataan awal Kok, yang dianggapnya tidak sensitif dan tidak menghormati agama Islam, namun menafikan memfitnahnya.

Beliau menyifatkan komen yang dimuat naik di akaun media sosialnya itu sebagai kritikan politik yang tegas namun munasabah.

Tambahnya, memandangkan pengikutnya ialah penyokong Umno yang berkongsi pandangan politik yang sama, beliau mempunyai tanggungjawab politik dan sosial untuk bersuara mengenai isu tersebut.

Kok menyaman Akmal berhubung satu video yang dimuat naik di TikTok, Facebook dan Instagram pada 7 Sept 2024, ketika cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan perniagaan makanan tertentu hangat diperdebatkan.

Dalam video tersebut, Akmal berulang kali memanggil Ahli Parlimen Seputeh enam penggal itu sebagai ‘nyonya tua’, menyuruhnya diam jika tidak memahami agama Islam, dan menuduhnya mengganggu keharmonian negara. Beliau juga menggesa logo tidak halal diletakkan pada dahi Kok.

Kok dalam pernyataan saksinya berkata, komen beliau hanya terhad kepada kemungkinan kos dan kesan praktikal jika pensijilan halal diwajibkan.

Beliau berkata, beliau menyokong pensijilan halal dan menyedari kepentingannya kepada pengguna Islam serta industri halal negara. Kebimbangannya adalah mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal, bukan mengenai agama Islam atau pensijilan itu sendiri.

Kok mendakwa Akmal menukar perbezaan pandangan mengenai dasar menjadi tuduhan bahawa beliau tidak menghormati Islam, menentang amalan halal dan mengancam keharmonian kaum serta agama. Beliau menyifatkan kenyataan mengenai logo tidak halal di dahi itu sebagai menjatuhkan maruah dan tidak berperikemanusiaan.

Tambahnya, video TikTok itu masih kekal dalam talian dan telah menerima kira-kira 850,000 tontonan, 80,300 tanda suka, 9,546 komen dan 9,157 perkongsian setakat 22 Julai.

Bekas Ahli Parlimen Shah Alam dan menteri Khalid Samad, yang hadir sebagai saksi untuk Kok berkata, sudah menjadi kelaziman bagi seorang Ahli Parlimen untuk membangkitkan kebimbangan daripada pengundi ketika sesuatu dasar masih dipertimbangkan.

Beliau berkata, pensijilan halal secara wajib boleh menyebabkan kos yang lebih tinggi, peraturan sumber bekalan yang lebih ketat dan pemeriksaan berterusan ke atas pengusaha makanan kecil. Ada juga yang mungkin terpaksa menutup operasi atau menukar jenis barangan jualan.

Khalid berkata, Akmal boleh sahaja tidak bersetuju dengan Kok secara profesional tanpa menggunakan bahasa kasar dan serangan peribadi. Beliau menyifatkan kenyataan mengenai dahi itu sebagai keterlaluan, menjatuhkan maruah dan bertujuan menghina Ahli Parlimen Seputeh itu.

Beliau juga menolak dakwaan Akmal bahawa Kok telah menjejaskan keharmonian negara atas alasan 50 laporan polis dibuat terhadapnya. Khalid berkata, Umno mempunyai lebih daripada cukup ahli untuk membuat laporan sedemikian.

Menurut peguam Kok, SN Nair, kedua-dua pihak dijadual mengemukakan hujah akhir mereka pada 21 Sept di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Isa Aziz Ibrahim.

Akmal diwakili oleh peguam Syahrul Syazwan Salehin.

Author: admin