
PETALING JAYA: Bekas menteri besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berterima kasih kepada rakyat yang memberinya peluang menerajui negeri itu sejak 2018.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu berkata, menteri besar “bukan sekadar satu jawatan, tetapi amanah yang saya cuba pikul dengan seikhlas hati dan sebaik kemampuan yang Allah kurniakan”.
“Saya tidak tahu bagaimana rakyat dan sejarah akan menilai saya. Namun, saya berharap sepanjang memegang amanah ini, rakyat akan mengingati saya telah berusaha sedaya upaya untuk berlaku adil, bekerja dengan ikhlas, dan meletakkan kepentingan Negeri Sembilan mengatasi segala-galanya,” katanya dalam kenyataan.
Adun Sikamat selama empat penggal itu tewas di kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Linggi dalam PRN semalam. Beliau tewas dengan majoriti 2,976 undi kepada calon BN, Faizal Ramli, yang menang buat penggal kedua.
Beliau berkata, khidmatnya kepada rakyat tidak akan berakhir dengan PRN semalam.
Semalam, BN memenangi 18 kerusi dan sekutunya Perikatan Nasional menang tujuh kerusi, memberikan majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 36 kerusi. Baki 11 kerusi dimenangi PH.
Ismail Lasim dari Umno yang berjaya mempertahankan Sinaling buat penggal keenam, dilantik sebagai menteri besar baharu dan mengangkat sumpah jawatan hari ini di depan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
