
PETALING JAYA: Atlet dan kontinjen Perlis diingatkan memberi fokus sepenuhnya kepada pelan taktikal jurulatih tanpa membiarkan sebarang gangguan luar menjejaskan tumpuan bagi memburu pingat di Sukma 2026, demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
“Mereka yang terpilih dipesan supaya mengharumkan nama baik negeri, selain berjuang habis-habisan bagi memastikan segala pengorbanan selama ini terbalas dengan kejayaan,” titah baginda selepas berangkat ke Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di Kangar bagi meninjau persiapan kontinjen negeri bagi menghadapi Sukma 2026 di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos ini.
Keberangkatan baginda menjadi suntikan semangat kepada atlet dan barisan kejurulatihan dalam usaha memperkukuhkan persiapan pasukan untuk mengharumkan nama Perlis di pentas Sukma 2026.
Terdahulu, beberapa ketua jabatan negeri mengiringi Tuanku Syed Faizuddin bersama Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin menyampaikan nasihat serta motivasi kepada atlet yang mengiringi baginda dalam program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli di sekitar Kangar.
Program itu merupakan inisiatif berterusan MAIPs yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat dengan aktiviti kebajikan menerusi penyampaian bantuan kepada golongan asnaf di kediaman mereka.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan silaturahim, malah membolehkan MAIPs melihat sendiri keadaan penerima bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan mereka.
Sempena kayuhan itu juga, Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga penerima asnaf terpilih yang tinggal di Jalan Tepi Sungai, Padang Behor.
