Cabaran politik dijangka lebih getir, Sim gesa DAP bersatu di belakang Loke

steven sim
Ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim memuji keteguhan dan keberanian Loke Siew Fook mempertahankan kerusi Chennah walaupun mengetahui saingan di kawasan itu akan sengit. (Gambar Bernama)

BUKIT MERTAJAM: Pengerusi DAP Pulau Pinang Steven Sim menggesa ahli parti supaya bersatu menyokong Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook, sambil memberi amaran bahawa cabaran politik akan menjadi lebih sukar selepas pemimpin parti itu tewas kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan.

Sim, yang juga timbalan setiausaha agung DAP, berkata parti itu tetap berbangga dengan kepimpinan Loke dalam mempertahankan kerusi tersebut, yang diakuinya sejak awal lagi sebagai kawasan yang sukar untuk dipertahankan.

“Kita mesti terus bersatu dan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Loke sebagai setiausaha agung kita dalam menghadapi cabaran yang saya percaya akan menjadi lebih getir,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri program jualan Madani di sini hari ini.

“Kita bangga dengan keteguhan pendirian dan kepimpinan berani beliau dalam mempertahankan kerusi itu, walaupun kita tahu sejak awal bahawa ia bukan sesuatu yang mudah.”

Kekalahan Loke di Chennah merupakan antara kejutan terbesar dalam pilihan raya semalam apabila beliau kehilangan kerusi yang disandang sejak 2013 kepada calon MCA daripada Barisan Nasional (BN) Siow Kong Choon, dengan majoriti 688 undi.

DAP turut kehilangan Repah, satu lagi kerusi yang telah dikuasainya selama beberapa penggal, kepada MCA, namun berjaya mempertahankan sembilan kerusi lain.

Sim mengucapkan terima kasih kepada pengundi Negeri Sembilan kerana membantu parti itu mengekalkan sembilan kerusi, namun berkata DAP dan Pakatan Harapan (PH) perlu membuat refleksi terhadap keputusan keseluruhan serta mengambil pengajaran daripada kekalahan itu.

“Setiap pilihan raya ada pengajaran yang perlu dipelajari. Sebagai sebuah parti dan gabungan, kita perlu membuat penilaian dan menggunakan pengajaran daripada pilihan raya ini untuk merancang masa depan dengan lebih baik,” katanya.

Ditanya sama ada PH akan berdepan kekalahan sama jika PRN Pulau Pinang diadakan sekarang, Sim tidak mengulas.

Beliau berkata wakil rakyat perlu bekerja keras untuk mengekalkan kepercayaan rakyat, sambil menambah persiapan pilihan raya perlu bermula sebaik sahaja pilihan raya sebelumnya selesai, bukan hanya apabila Parlimen atau DUN dibubarkan.

Author: admin