DAP terima keputusan PRN N Sembilan dengan ‘penuh rendah diri’

gobind singh deo
Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, berkata parti itu akan mendengar keluhan dan kebimbangan rakyat dan berusaha meraih semula sokongan mereka. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: DAP menerima keputusan PRN Negeri Sembilan dengan ‘penuh rasa rendah diri’, sambil menyatakan parti akan membuat penilaian menyeluruh dan bekerja keras untuk mendapatkan semula sokongan rakyat.

Pengerusi Gobind Singh Deo, parti menghormati mandat diberikan rakyat dan mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah dipilih untuk membentuk kerajaan negeri baharu Negeri Sembilan.

“Mesej daripada pengundi adalah jelas. Kami mesti dan akan membuat penilaian menyeluruh terhadap keputusan ini, mendengar dengan teliti keluhan serta kebimbangan rakyat, dan bekerja keras untuk mendapatkan semula keyakinan serta sokongan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Gobind turut mengambil maklum kekalahan Setiausaha Agung Loke Siew Fook di Chennah, dengan menyifatkannya sebagai persaingan yang sengit.

“Loke telah berkhidmat untuk parti dan rakyat dengan cemerlang selama bertahun-tahun, dan kami yakin beliau akan terus
berbuat demikian.”

Kekalahan Loke di Chennah antara kejutan terbesar pada PRN semalam, apabila tumpas di kerusi disandangnya sejak 2013 kepada calon Barisan Nasional (BN) daripada MCA, Siow Kong Choon, dengan majoriti 688 undi.

DAP juga kalah di Repah, satu lagi kerusi disandangnya selama beberapa penggal kepada MCA.

Parti itu mengekalkan baki sembilan kerusi lain.

Author: admin