
PETALING JAYA: Adun Rembia Jailani Khamis berharap Barisan Nasional (BN) mengemukakan tawaran kerusi atas dasar ‘persahabatan’ jika ingin menjalinkan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka akan datang.
Beliau menegaskan bahawa sebarang angka tawaran kerusi mestilah munasabah demi kebaikan bersama.
Jailani bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya proses rundingan kepada Pesuruhjaya PAS Melaka Zulkifli Ismail serta pimpinan pusat untuk memuktamadkan bentuk kerjasama dengan BN.
“Saya yakin PAS melalui PN akan mengikut apa sahaja keputusan rundingan pihak pimpinan negeri yang akan berurusan dengan pihak atasan BN.
“Pada masa yang sama, kami mengharapkan angka tawaran itu kalau boleh yang munasabah dan bersifat ‘friendship basis’.” katanya kepada FMT.
Jailani, bekas ahli Umno yang menyertai PAS pada Jun 2023, menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan negeri dan pusat mampu membuat keputusan terbaik demi kelangsungan PAS dan PN di Melaka.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka Bakri Jamaluddin menyambut baik keterbukaan BN untuk membuka pintu rundingan.
Beliau bagaimanapun berkata, keputusan hanya akan dibuat pada peringkat tertinggi parti dan pihaknya ‘bersedia melaksanakan setiap keputusan serta arahan parti’.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi dilaporkan menyatakan keterbukaan gabungan itu berbincang untuk meneruskan persefahaman dengan PN pada PRN Melaka akan datang.
Ketika PRN Johor, PAS menggesa ahli serta penyokongnya supaya menyokong calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN, walaupun Umno dan PAS tidak mempunyai pakatan secara rasmi pada pilihan raya itu.
Bagaimanapun, di Negeri Sembilan, BN dan PN membentuk pakatan rasmi ketika PRN 1 Ogos, dengan kedua-dua gabungan bersetuju untuk tidak bertembung sesama sendiri.
BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN yang diterajui PAS bertanding di baki 11 kerusi.
