
ISTANBUL: Setiausaha Majlis Keselamatan Tertinggi Iran memberi amaran sekatan maritim berterusan Amerika Syarikat (AS) boleh menyebabkan Selat Hormuz dan laluan air strategik lain ditutup, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut kenyataan yang disiarkan penyiar kerajaan IRIB, Mohammad Bagher Zolghadr pada Sabtu berkata, “provokasi” berterusan AS bukan saja akan menyebabkan laluan menerusi Selat Hormuz semakin terhad, malah boleh mengakibatkan laluan maritim penting lain ditutup.
Beliau memberi amaran kesan tindakan Washington akan ditanggung “ekonomi global, pasaran tenaga dan pengundi AS,” dipercayai merujuk pilihan raya Kongres AS pada November ini ketika kenaikan harga dan peperangan yang tidak mendapat sokongan menjadi antara isu utama.
Pada 14 Julai lalu, Markas Pemerintahan Pusat AS (Centcom) mengumumkan penguatkuasaan semula sekatan maritim terhadap Iran atas arahan Presidennya, Donald Trump.
Ketegangan antara AS dengan Iran meningkat sejak beberapa minggu ini apabila Washington melancarkan serangan ke atas Iran, manakala Tehran bertindak menyasarkan kemudahan dan aset ketenteraan AS di rantau itu.
AS menuntut Iran menghentikan serangan terhadap kapal komersial dan menjamin kebebasan pelayaran menerusi Selat Hormuz.
Tehran pula menegaskan pergerakan kapal di laluan air strategik sepanjang pesisirannya perlu dikawal selia menerusi mekanisme ditadbir Iran.
