
PETALING JAYA: Seorang lelaki diberkas selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berunsur menghina institusi Diraja Perlis berkait penganugerahan pingat kebesaran negeri.
Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim, berkata pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 37 tahun susulan enam laporan diterima semalam berkait satu hantaran yang tular di media sosial.
“Polis memandang serius perkara ini kerana melibatkan sensitiviti Diraja Perlis dan boleh menimbulkan salah faham serta menggangu keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Dilaporkan, hantaran itu didakwa sengaja mempersendakan dengan menukar nama rasmi Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) kepada ‘Pingat Jasa Khianat’, sebelum hantaran berkenaan disunting semula.
Ia berkait pengurniaan pingat kebesaran kepada Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil.
