
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon pihak berkuasa Taiwan memberikan pertimbangan kemanusiaan terhadap tiga rakyat tempatan yang ditahan selepas diperdaya sindiket tawaran kerja pengawal peribadi, Jun lalu.
Tiga individu berkenaan—Muhammad Shah Iskandar Daud, 20, serta pasangan suami isteri, Ahmad Iffat Ahmad Fuad, 32, dan Nor Adila Adnan, 22, kini meringkuk di pusat tahanan berasingan di sana atas kesalahan didakwa berkaitan aktiviti penipuan.
Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim, berkata kesemua mangsa dipercayai terpedaya dengan modus operandi baharu sindiket yang mengeksploitasi tawaran pekerjaan pengiring keselamatan kelihatan sah bagi merekrut rakyat Malaysia.
Beliau berkata, walaupun MHO menghormati proses undang-undang dan kedaulatan Taiwan, pertimbangan kemanusiaan perlu diberikan memandangkan mangsa diperdaya dan mempunyai anak kecil yang kini terpisah.
Hishamuddin turut mendesak pihak berkuasa Malaysia supaya menjalankan siasatan menyeluruh bagi membongkar rantai pengambilan dan peraih di tanah air yang mendalangi kes ini.
“Kita tidak boleh membenarkan rakyat Malaysia direkrut, dihantar ke luar negara dan akhirnya berdepan pendakwaan, sedangkan pihak yang mengatur atau memperoleh manfaat terus bebas tanpa tindakan,” katanya dalam sidang media bersama ahli keluarga mangsa selepas memorandum diserah kepada wakil Taipei Economic and Cultural Office in Malaysia (TECO).
Sementara itu, abang kepada Shah Iskandar, hanya ingin dikenali sebagai Edy, 42, berkata adik bongsunya tidak menyedari tugasan yang diberikan oleh majikan di Taiwan adalah kesalahan jenayah.
Katanya, adiknya hanya diminta mengeluarkan wang menggunakan kad bank yang diberikan majikan dan menganggapnya sebagai tugas rutin harian.
“Adik saya cuma keluar sekali sahaja, tapi polis sana ambil kadnya dan keluar duit enam kali. Kami minta keadilan dan harap pihak Taiwan dapat berikan kerjasama,” katanya.
Manakala Ibu Ahmad Iffat, Normala Ahmad, 54, mendedahkan dia terpaksa berhutang untuk ke Taiwan bagi menyelamatkan dua cucunya yang berusia satu dan empat tahun selepas ibu bapa mereka ditahan.
“Kalau tak ambil, sebulan RM3,500 kat taska sana. Kami pergi bayar RM6,000 sebab dah sebulan lebih,” katanya sambil menambah anaknya ke Taiwan pada awal Jun lalu untuk bekerja sambilan sementara menunggu panggilan kerja sebagai pemandu bas di Singapura.
