
PETALING JAYA: Tokoh wartawan negara, A Kadir Jasin percaya tidak akan ada amarah berpanjangan susulan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) kerana ia dianggap isu Melayu-Islam, tidak seperti penentangan terhadap skandal 1MDB.
“Orang Melayu bukan pandai marah sepanjang masa. Mereka senang dipujuk,” kata Kadir kepada FMT.
“Patut ada (rasa marah), tetapi mungkin tidak ada.”
Beliau turut merujuk kes 1MDB di mana ada sebilangan orang Melayu menuntut bekas perdana menteri, Najib Razak, yang kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan rasuah, diberi pengampunan.
Najib memainkan peranan utama dalam skandal 1MDB, yang disifatkan sebagai kes kleptokrasi terbesar dalam sejarah.
Kadir turut berkata, beliau tidak terkejut dengan dapatan RCI tersebut memandangkan kebanyakan perkara yang terbongkar telah pun didedahkan, susulan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU 2018.
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad, menerusi menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng dan menteri hal ehwal agama ketika itu, Mujahid Yusof Rawa, telah mengambil siri tindakan.
Ia termasuk memindahkan aset tidak berprestasi dan liabiliti TH kepada sebuah syarikat berkeperluan khas (SPV) agar dana jemaah haji dapat meneruskan pembayaran hibah kepada pendeposit.
Katanya, beberapa laporan polis turut dibuat pengurusan baharu TH terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah serta pengurusan kanan dana berkenaan.
Namun, apabila kerajaan PH tumbang akibat Langkah Sheraton pada 2020, “sebahagian besar dasar dan tindakannya sama ada ditinggalkan atau diketepikan”, katanya.
Kadir kesal kerana bekas Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan hanya dikenakan hukuman ringan, tanpa sebarang perbicaraan jenayah atau pertuduhan rasmi dikenakan Jabatan Peguam Negara.
Beliau berkata, pegawai kanan tersebut sekadar berdepan tindakan tatatertib dalaman dan penurunan pangkat, bukan dipecat.
“Dapatan RCI TH serta syornya hanya akan menjadi satu lagi helah, jika tiada tindakan undang-undang diambil terhadap pelaku.”
Kadir berkata, pihak yang berkenaan perlu dipertanggungjawabkan atas kegagalan menjalankan tugas dan tanggungjawab fidusiari, bagi mengelak RCI TH berdepan nasib sama seperti Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia yang ditubuhkan 22 tahun lalu.
Pada 2005, suruhanjaya diraja itu mengesyorkan penubuhan satu badan dinamakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), yang tidak pernah ditubuhkan sepenuhnya.
