
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata persetujuan telah dicapai bagi ‘pelucutan senjata sepenuhnya’ Hamas dan kumpulan bersenjata lain di Gaza, dengan tentera Israel akan berundur seiring kemajuan proses berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.
Trump berkata, persetujuan disifatkannya sebagai langkah ‘bersejarah’ ke arah keamanan dan keselamatan itu akan dilaksanakan secara berfasa.
“Persetujuan itu akan dilaksanakan menerusi beberapa fasa yang dirangka dengan teliti. Apabila proses pelucutan senjata selesai, tentera Israel akan berundur, manakala Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu untuk mengambil alih tanggungjawab memastikan Gaza selamat bagi penduduknya dan negara-negara jiran,” katanya menerusi hantaran Truth Social.
Beliau berkata, persetujuan itu merupakan ‘pencapaian penting’ dalam pelaksanaan pelan 20 perkara dikemukakannya bagi Gaza, sambil menambah wilayah itu akhirnya akan ditadbir oleh ‘kerajaan Palestin baharu yang akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Keamanan bagi membantu rakyat Palestin’.
Trump turut merakamkan penghargaan kepada Mesir, Qatar, dan Turki atas usaha pengantaraan mereka yang, bersama usaha pasukan pentadbirannya, menyumbang kepada ‘kejayaan bersejarah’ itu.
