
PETALING JAYA: Hassan Karim daripada PKR menggesa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia menyiasat kemungkinan berlaku kesalahan jenayah daripada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas Tabung Haji (TH).
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, kesalahan itu mungkin termasuk penipuan kewangan, pemalsuan rekod perakaunan, penipuan, pengagihan hibah tidak sah dan pecah amanah.
Beliau yang juga peguam berkata, sebarang bukti salah laku perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk diputuskan sama ada pihak bertanggungjawab patut didakwa.
“Tiada gunanya menerbitkan laporan RCI jika dibiarkan begitu saja tanpa sebarang tindakan undang-undang,” katanya dalam sebuah video.
Hassan turut menekankan kedudukan kewangan TH pada 2017 yang melaporkan keuntungan RM3.4 bilion sedangkan ia sepatutnya mencatatkan kerugian bersih RM1.4 bilion.
Jelasnya, ini bersamaan percanggahan RM4.8 bilion, dan mendakwa bahawa kedudukan kewangan sebenar TH telah disembunyikan.
Hassan turut mempersoalkan pengagihan hibah bagi tahun itu, dengan memetik Seksyen 22(3) Akta Tabung Haji 1995 yang melarang dana itu mengisytihar atau membayar dividen atau pengagihan keuntungan jika asetnya lebih rendah daripada liabiliti.
Tanpa menyebut nama, beliau berkata, penyiasat boleh meneliti peranan ketua pegawai eksekutif atau pengarah urusan, ketua pegawai kewangan kumpulan, pengerusi, ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan ketika itu.
Tegasnya, beliau tidak menuduh mana-mana individu melakukan kesalahan secara khusus.
“Sesiapa yang mungkin dituduh nanti, belum tentu bersalah dan mereka ada hak untuk membela diri.”
Hassan berkata, perkara itu mempunyai kepentingan awam besar kerana membabitkan simpanan umat Islam yang mendepositkan wang dengan Tabung Haji untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.
Beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan mendedahkan laporan RCI itu dan membentangkannya di Parlimen untuk dibahaskan.
RCI itu ditubuhkan pada 2021 untuk menyiasat aspek pengurusan, operasi dan isu berkaitan aset TH antara 2014 hingga 2020 susulan kebimbangan terhadap tadbir urus dan kedudukan kewangan dana berkenaan. RCU itu menyiapkan laporannya pada Julai 2022.
