Raja Puan Muda Perlis rai anak yatim di pembukaan cawangan Bayu Somerset

Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan hadir pada majlis pembukaan cawangan ke-18 Bayu Somerset di Kangar Jaya Mall, semalam. (Gambar Bayu Somerset)

PETALING JAYA: Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan meraikan anak yatim perempuan sempena pembukaan cawangan ke-18 Bayu Somerset di Kangar Jaya Mall, semalam.

Baginda berkenan membelanjakan pakaian, tudung dan beg kepada penghuni Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim Mak Teh pada majlis itu.

Baginda berangkat bersama anakanda Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan disambut Ketua Pemasaran Bayu Somerset Dania Kamalul Ariffin.

Pengiring rumah kebajikan itu, Siti Hadijah Saad berkata mereka berbesar hati kerana diberi peluang menyertai majlis berkenaan.

“Kami menjunjung kasih kepada Raja Puan Muda Perlis yang berkenan membelanja pakaian, beg dan tudung kepada anak-anak.

“Terima kasih juga kepada Bayu Somerset kerana memberi peluang kepada kami menghadiri majlis pembukaan ini,” katanya.

Seorang penghuni, Nur Syuhadawati Abdul Rahman, 16, berkata dia gembira kerana diraikan dan menerima pakaian baharu.

Katanya, reka bentuk serta warna pakaian yang ditawarkan menarik dan sesuai dengan cita rasa golongan muda.

“Ini kali pertama saya menyertai acara seperti ini. Pakaiannya selesa dan pilihan saiznya juga sesuai,” katanya.

Sementara itu, Dania berkata program itu turut diadakan sempena ulang tahun kelima Bayu Somerset.

Katanya, jenama fesyen gaya hidup tempatan itu merancang membuka lebih banyak cawangan di Johor, Melaka dan Sabah menjelang akhir tahun ini.

“Bayu Somerset menawarkan pakaian tradisional dengan reka bentuk dan warna yang ceria. Coraknya juga dihasilkan sendiri oleh pasukan kami.

“Kami mahu pelanggan berasa selesa dan yakin apabila memakai produk kami, selain menawarkannya pada harga berpatutan,” katanya.

Author: admin