Shahril dakwa saranan Sanusi balik Kedah bukti BN enggan ‘all-in’ dengan PN

Shahril Hamdan berkata jika sokongan pengundi Cina tak kembali kepada PH dan DAP secara besar-besaran di Negeri Sembilan berikutan kenyataan Sanusi Nor, ia bakal menjadi petanda buruk buat gabungan itu.

PETALING JAYA: Tindakan Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi menyarankan Sanusi Nor tidak lagi berkempen di PRN Negeri Sembilan membuktikan gabungan itu enggan memberikan komitmen penuh terhadap kerjasama Perikatan Nasional buat masa ini.

Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata reaksi pimpinan tertinggi BN itu juga mencerminkan pengiktirafan parti berkenaan terhadap keresahan pengundi bukan Melayu berhubung kenyataan kontroversi menteri besar Kedah.

Katanya, berbeza dengan fasa awal kerjasama politik lain yang selalunya melewatinya dengan suasana ‘bulan madu’, BN berhati-hati ekoran pengalaman perpisahan dengan PAS beberapa tahun lalu.

“Belum apa-apa pun dah nampak bahawa Zahid nak menunjukkan kita memang tak ‘all-in’ kepada PN lagi.

“Mungkin disebabkan pengalaman mutakhir beberapa tahun dulu di mana Umno, BN dan PAS tidak lagi bersama, ia menimbulkan rasa berwaspada untuk tidak terlalu teruja di peringkat awal,” katanya dalam episod terbaru audio siar Keluar Sekejap.

Pada malam Khamis lalu, Sanusi dilaporkan berkata, “Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja.” ketika berkempen di Negeri Sembilan.

Susulan itu, Zahid mencadangkan Sanusi menguruskan pentadbirannya di Kedah dan tidak perlu datang berkempen di Negeri Sembilan menjelang hari pengundian Sabtu depan.

Zahid, yang juga presiden Umno, turut menzahirkan rasa kurang senang dengan kenyataan pengarah pilihan raya PN itu sebelum ini membayangkan orang Cina dan India di Malaysia masih mempunyai ‘negara asal masing-masing’.

Sementara itu, Shahril turut menyorot taktik kempen Pakatan Harapan dan DAP yang didakwanya menggunakan sentimen ketakutan terhadap PAS serta PN sebagai ‘kad terakhir’ untuk mengikat sokongan pengundi teras kaum Cina.

“Modal yang ada pada PH dan DAP terutamanya kepada pengundi asas Cina adalah, ‘anda perlu undi kami, sebab kalau tidak anda akan dapat PAS.’ Itu hujah final mereka.

“Tetapi, ada kematangan dalam politik Malaysia sekarang. Pengundi Cina yang tak suka PAS pun, mereka tak suka DAP guna hujah ini lagi kerana mereka mahu DAP memenangi hati mereka melalui perkhidmatan, bukannya menakut-nakutkan,” katanya.

Shahril berkata, jika sokongan pengundi Cina tidak kembali kepada PH dan DAP secara besar-besaran di Negeri Sembilan berikutan kenyataan Sanusi, ia bakal menjadi petanda buruk buat gabungan berkenaan.

“Kalau kad terakhir anda pun tak laku dah, itu adalah satu isyarat yang membimbangkan buat PH,” katanya.

Author: admin