
KUALA LUMPUR: Ratusan pelarian Rohingya yang berhimpun di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan pengesahan identiti.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, mengesahkan pemindahan semua warga asing terbabit dilakukan malam ini.
Operasi pemindahan bermula 8.20 malam dengan menggunakan empat trak polis, selepas dua trak yang disediakan pada awalnya tidak mencukupi berikutan kebanyakan pelarian tersebut membawa bagasi dan barangan peribadi.
Difahamkan, semua warga asing itu akan menjalani pemeriksaan identiti sebelum tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, sumber memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka terlibat dalam penyelarasan kes berkenaan esok bagi mengenal pasti pelarian yang mempunyai dokumen sah UNHCR serta menentukan penempatan yang bersesuaian.
Menurut sumber, individu yang tidak mempunyai kad UNHCR atau gagal membuktikan status pelarian yang sah akan diserahkan kepada imigresen untuk dihantar ke depoh tahanan sebelum melalui proses penghantaran pulang ke negara asal.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kumpulan pelarian yang bertindak mengganggu ketenteraman awam atau cuba menguasai mana-mana kawasan.
Anwar berkata agensi penguat kuasa termasuk polis, imigresen serta pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
Media sebelum ini melaporkan kumpulan pelarian itu tiba di ibu negara pada awal pagi tadi dengan menaiki tiga bas.
