
PORT DICKSON: Pengundi perlu menilai manifesto yang ditawarkan parti yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan berdasarkan kemampuan untuk melaksanakannya dan bukan sekadar janji ketika berkempen.
Ahli biro politik PKR, Tengku Zafrul Aziz, berkata semua parti mempunyai tawaran dan fokus masing-masing, namun perkara paling penting ialah memastikan setiap janji dapat dilaksanakan selepas memperoleh mandat rakyat.
“Kita sudah lihat tiga manifesto iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dan saya rasa dalam semua itu ada isi fokus masing-masing. Saya mahu biar pengundi yang menilai tetapi apa yang penting bagi saya manifesto ini kita betul-betul perlu laksanakan.
“Dalam tempoh dua tahun lapan bulan ini, berdasarkan rekod kerajaan PH Negeri Sembilan banyak perkara yang disebut telah pun dilaksanakan. Jadi akhirnya ia mengenai pelaksanaan manifesto itu bukan sekadar janji,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyertai kempen calon PH bagi DUN Sri Tanjung, Dr G Rajasekaran.
Tengku Zafrul berkata prestasi pentadbiran PH juga wajar dijadikan pertimbangan dalam membuat keputusan pada PRN kali ini.
Mengenai dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam PKR Negeri Sembilan termasuk usaha mensabotaj calon, beliau berkata perkara itu tidak berlaku berdasarkan pemantauannya bersama pimpinan serta jentera parti di beberapa kawasan.
Sementara itu, Rajasekaran berkata penerimaan rakyat terhadapnya sepanjang seminggu lebih berkempen adalah positif dan yakin akan dapat mempertahankan kerusi itu.
Rajasekaran berhadapan saingan lima penjuru membabitkan A Achuthan (BN), M Leevineshwaraan (Bersatu), A Saravanan (bebas) dan Islah Wahyudi (bebas).
