Banjir Tawau: Mangsa berlindung di PPS meningkat

banjir tawau
Seramai 362 mangsa berlindung di PPS susulan banjir di Tawau, Sabah. (Gambar Facebook APM Tawau)

KOTA KINABALU: Seramai 362 mangsa daripada 102 keluarga berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir di Tawau, Sabah setakat 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah itu meningkat berbanding 335 mangsa daripada 96 keluarga pagi tadi.

“Mereka ditempatkan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau,” menurut kenyataan.

Semua mangsa merupakan penduduk dari empat kampung terjejas iaitu Kampung Tanjung Batu Keramat, Tanjung Batu Darat, Tanjung Batu Otentik dan Kampung Kinabutan Tiku Batu 6.

Tiada laporan kemalangan jiwa atau kejadian tidak diingini diterima setakat ini.

Hujan berterusan sejak Jumaat mengakibatkan Tawau dan kawasan sekitarnya dilanda banjir sebelum bencana diisytihar pada 8.30 pagi.

Pemantauan oleh agensi penyelamat terus dilaksanakan di lapangan bagi memantau keadaan semasa, dengan beberapa kawasan kampung terjejas menunjukkan trend penurunan paras air.

Sementara itu, di Melaka, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 76 mangsa daripada 21 keluarga setakat 5 petang tadi, berbanding 124 mangsa daripada 37 keluarga setakat 8 pagi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarajat (JKM) melaporkan 14 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di satu PPS di Melaka Tengah iaitu di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor.

Di Jasin, 37 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS SK Serkam Darat manakala 25 mangsa daripada lapan keluarga masih ditempatkan di SK Bukit Tembakau.

Author: admin