Graduan OKU Sabah mula latihan farmasi lepas penempatan ditangguh

Menteri portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Mustapha Sakmud menerima surat daripada Sophie memohon bantuan berhubung isu penangguhan penempatan Latihan Siswazah Farmasi KKM. (Facebook Mustapha Sakmud)

PETALING JAYA: Graduan farmasi orang kurang upaya (OKU) yang sebelum ini berdepan ketidaktentuan penempatan latihan siswazahnya, sudah memulakan latihan selepas mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapha Sakmud.

Mustapha yang memegang portfolio Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, berkata graduan dikenali Sophie itu memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi di Sydney, Australia, menerusi biasiswa.

Katanya, Sophie pulang ke Malaysia selepas menamatkan pengajian dengan harapan berkhidmat sebagai pegawai farmasi dan menerima tawaran penempatan Latihan Siswazah Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), pada 11 Mei lalu.

Namun, beberapa hari sebelum melapor diri, Sophie dimaklumkan penempatannya ditangguhkan sementara bagi membolehkan status OKU dirinya dinilai semula.

“Ketika harapan semakin pudar, Sophie bersama pak ciknya datang bertemu saya dan menceritakan kisahnya.

“Saya tak boleh biarkan anak Sepanggar dilayan sebegini. Jadi, saya bawa sendiri surat penempatan Sophie ke Putrajaya dan memohon agar keputusan dapat dibuat segera,” katanya dalam catatan di Facebook.

Mustapha berkata, hasil usaha itu Sophie menerima surat pengesahan penempatan dan memulakan latihan di Kuala Lumpur pada 13 Julai dan kini bertugas secara rasmi di sebuah hospital di Sabah, sejak 20 Julai.

Beliau berkata, kisah itu membuktikan kekurangan fizikal tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang untuk menyumbang kepada negara.

“Ini merupakan satu kemenangan besar buat seorang anak muda yang enggan membiarkan kekurangan fizikal menentukan masa depannya.

“Dia percaya setiap insan berhak diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan sebenar,” katanya.

Author: admin