
PETALING JAYA: Persidangan DUN Kelantan ditangguhkan atas permintaan kerajaan negeri, yang mahu memuktamadkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan (EKJS).
DUN Kelantan yang sepatutnya bersidang esok sehingga Khamis kini dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 13 Ogos.
“Pihak kerajaan minta penangguhan. Antara sebab sidang ditangguhkan adalah untuk memuktamadkan EKJS,” kata Speaker DUN Amar Abdullah, lapor Utusan Malaysia.
Pada 9 Feb 2024, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam EKJS adalah terbatal dan tidak sah, selepas membenarkan petisyen dikemukan oleh dua peguam.
Ketua hakim negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, berkata mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Pada 21 April lalu, Timbalan Menteri Besar Mohamed Fadzli Hassan memberitahu DUN bahawa penyediaan draf pindaan EKJS sudah selesai, dan memerlukan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Katanya, jemaah ulama MAIK memberikan beberapa cadangan dan komen kepada jawatankuasa kerajaan negeri untuk diambil kira, lapor Berita Harian.
