
PETALING JAYA: Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata pendekatan di Negeri Sembilan tidak semestinya boleh digunakan di Pahang atau negeri lain, merujuk kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Mohd Sharkar Shamsudin berkata, setiap negeri mempunyai keadaan tersendiri.
“Apa yang berlaku di Negeri Sembilan, itu di Negeri Sembilan…maknanya hanya orang Makkah saja tahu jalan lorong-lorong di Makkah.
“Jadi, orang Negeri Sembilan tahu kaedahnya dan tidak semestinya kaedah sama itu diguna pakai di Pahang, Johor, Melaka atau Selangor,” katanya menurut Sinar Harian, di Kuantan.
Beliau yang juga speaker DUN Pahang, berkata perbezaan politik di peringkat negeri dan pusat perlu difahami.
“Kita kena lihat suasana politik hari ini dari konteks lebih luas, kita kena fahamlah apa yang berlaku di peringkat pusat dan negeri adalah entiti yang berbeza,” katanya.
Katanya, perubahan landskap politik ketika ini menyebabkan semua pihak perlu melihat pendekatan politik secara lebih terbuka.
“Kita sudah tidak boleh fikir cara yang sangat sempit dan perlu terbuka. Dulu lain sebab Umno menguasai pusat dan negeri, tapi sekarang ini kita ada 10 parti Melayu pastinya rakyat sudah ada banyak pilihan, bukan Umno satu saja.”
