Kerajaan sasar 70% tenaga boleh baharu pada 2050

Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata Malaysia mencapai sasaran 31% kapasiti terpasang tenaga boleh baharu setakat Disember lalu dan hampir 32% sehingga bulan lalu.

PETALING JAYA: Kerajaan menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) meningkat kepada 35% menjelang 2030 dan 70% pada 2050 sebagai langkah memperkukuhkan agenda peralihan tenaga negara.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, berkata sasaran itu selaras aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi memastikan sektor tenaga lebih mampan, berdaya saing dan rendah karbon.

Menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata, Malaysia mencapai sasaran 31% kapasiti terpasang TBB setakat Disember lalu dan hampir 32% sehingga bulan lalu.

“Melalui NETR, kerajaan menggariskan hala tuju jelas bagi mentransformasikan sektor tenaga negara,” katanya menurut Sinar Harian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar di Serongga, Pasir Mas yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Nassuruddin Daud.

“Peralihan tenaga bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara, memperkukuh daya tahan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memenuhi komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim global.”

Sementara itu, Fadillah berkata, Kelantan berpotensi meningkatkan lagi kapasiti TBB, khasnya solar untuk penjanaan elektrik.

“Dengan keluasan tanah yang sesuai, sokongan kerajaan negeri dan penyertaan sektor swasta, negeri ini mampu memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda peralihan tenaga negara.”

Menurutnya, projek solar di Serongga membabitkan pembangunan oleh Samaiden Legasi Timur berkapasiti 99.99 megawatt dan GVU Fajar Timur berkapasiti 27.60MW.

Beliau berkata, pembangunan solar berskala besar itu membuktikan kerjasama erat antara Putrajaya, kerajaan Kelantan dan sektor swasta dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara.

Selain menyumbang kepada bekalan elektrik negara, katanya, projek itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat, memperkukuh pembangunan industri sokongan dan memberi limpahan manfaat kepada masyarakat di Pasir Mas serta Kelantan.

Beliau menggalakkan orang ramai memanfaatkan Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan dengan memperluaskan pemasangan panel solar di bumbung rumah, masjid, rumah ibadat dan premis komersial bagi meningkatkan penggunaan tenaga bersih di seluruh negara.

Author: admin