
PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) menandatangani Surat Setuju Terima (SST) dengan sebuah syarikat pertahanan Perancis bagi perolehan sistem peluru berpandu permukaan ke udara untuk kapal tempur pesisir (LCS).
Dokumen itu ditandatangani Ketua Setiausaha Mindef, Lokman Hakim Ali bersama MBDA France untuk melengkapkan keupayaan persenjataan kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia pada Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough (FIA) 2026 di United Kingdom, Isnin lalu.
“Perolehan ini merupakan kontrak pelengkap penting bagi projek LCS untuk memastikan kapal berkenaan memiliki keupayaan pertahanan udara yang memenuhi keperluan operasi TLDM.
“Pemeteraian SST ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan strategik pertahanan maritim negara bagi mendepani cabaran geopolitik semasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan menarik balik lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM) kepada Malaysia atas alasan melindungi kepentingan keselamatannya, yang menyebabkan Mindef menghantar notis tuntutan lebih RM1 bilion kepada syarikat pertahanan negara itu.
Susulan itu, Menteri Pertahanan, Khaled Nordin dilaporkan berkata, empat negara dikenal pasti berpotensi membekalkan sistem NSM kepada Malaysia. Ia terdiri daripada Turki, Korea Selatan dan negara di Eropah.
Menurut laporan media, projek LCS mencapai kemajuan fizikal 78.1% sehingga 31 Mei lalu.
Sementara itu, Lokman bersama Panglima Tentera Udara, Muhamad Norazlan Aris mengadakan perbincangan dua hala bersama beberapa syarikat pertahanan dan aeroangkasa dari Amerika Syarikat, Korea Selatan, Turki, Sweden dan UK pada FIA 2026 dari Isnin lalu hingga esok.
“Perbincangan tertumpu kepada status pelaksanaan program kerjasama dan perolehan aset, di samping menilai perkembangan teknologi, penyelenggaraan, sokongan kitar hayat aset serta meneroka peluang kerjasama baharu bagi memperkukuh kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia dan pembangunan industri pertahanan tempatan.”
Mindef berkata, libat urus itu mencerminkan komitmen berterusannya dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan industri global selaras aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara.
