
PETALING JAYA: Muda membidas pelantikan 10 timbalan exco kerajaan Johor yang disifatkan sebagai pembaziran wang rakyat demi memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.
Presiden Amira Aisya Abd Aziz berkata, langkah itu seolah-olah dijadikan sebagai pembahagian ‘ghanimah politik’ menggunakan dana awam.
“Duit yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan kebajikan Bangsa Johor, sebaliknya digunakan untuk membayar gaji dan pencen barisan exco dan timbalan exco.
“Sudah 10 jawatan timbalan exco diberikan, ditambah pula dengan Adun lantikan yang akan menyokong Barisan Nasional secara membuta tuli,” katanya dalam kenyataan.
Amira mendakwa, tindakan itu bukannya satu dasar untuk memperkukuh pentadbiran negeri, sebaliknya hanya bertujuan mengukuhkan kedudukan BN dengan mengimbangi peruntukan negeri.
Terdahulu, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pelantikan 10 timbalan exco kerajaan negeri bagi memperkukuh jentera pentadbiran dan mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Onn Hafiz berkata, pelantikan itu juga bertujuan mempercepat penyelesaian isu rakyat serta memastikan setiap dasar pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan, seimbang dan inklusif di setiap daerah.
Pada 7 Mei lalu, DUN Johor meluluskan rang undang-undang (RUU) pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang membolehkan pelantikan lima Adun tanpa melalui pilihan raya meskipun mendapat bantahan Pakatan Harapan, justeru meningkatkan jumlah keseluruhan wakil rakyat negeri kepada 61.
