Ridzuan mohon maaf kepada pengundi BN, yakin undi naik berganda

RIDZUAN AHMAD
Calon PN di Gemas Ridzuan Ahmad menolak tanggapan akan berlaku boikot dalam kalangan penyokong PN-BN, sebaliknya yakin jumlah undi diperolehinya akan meningkat.

TAMPIN: Calon Perikatan Nasional (PN) di Gemas, Ridzuan Ahmad memohon maaf kepada pengundi Barisan Nasional (BN) atas tindakan dan pendiriannya yang mengguris hati mereka sebelum ini memandangkan dua gabungan itu merupakan lawan sebelum membentuk pakatan bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Beliau berharap hubungan baharu itu dapat mengukuhkan sokongan pengundi yang mungkin terkesan dengan tindak-tanduknya sebelum ini sepanjang berada dalam blok politik berbeza.

“Saya dulu pun dari Umno. Jadi, terasa hati itu berlakulah. Sebelum ini saya bertanding atas tiket PN, tetapi bukan bergabung dengan BN. Kali ini sudah bergabung dengan BN.

“Saya mohon maaf kepada pengundi jika ada kesalahan atau janji yang tidak dipenuhi. Sebagai Adun (penyandang) mungkin pernah menyakitkan hati pengundi, tetapi hari ini kita bersama dalam satu gabungan, ikatan baharu,” katanya selepas Program Ceramah Perdana Pengenalan Calon BN-PN Parlimen Tampin di Felda Bukit Rokan, di sini, malam tadi.

Beliau yakin pakatan PN dan BN akan diterjemahkan kepada sokongan akar umbi untuk menang di Gemas serta DUN lain di bawah Parlimen Tampin.

Pada masa sama, beliau menolak tanggapan akan berlakunya boikot dalam kalangan penyokong kedua-dua gabungan, sebaliknya yakin jumlah undi yang akan diperoleh akan meningkat.

“PN akan membantu BN. BN akan membantu PN.

“Jika sebelum ini saya menang dengan majoriti 3,100 undi, insya-Allah, saya yakin ia akan berganda dengan sokongan undi daripada penyokong BN. Begitu juga di DUN lain.”

Kerusi Gemas menyaksikan pertembungan tiga penjuru calon Pakatan Harapan Siti Aishah Seman@Othman, Azman Abdullah (Bersatu) dan Ridzuan, yang memenangi DUN berkenaan dengan majoriti 3,120 undi pada PRN 2023.

Author: admin