
PETALING JAYA: Pengundi Negeri Sembilan melihat isu adat terpisah daripada pertikaian politik yang menjadi latar kepada PRN kali ini, menurut badan pemikir.
Berdasarkan pengamatan di lapangan, Ilham Centre mendapati pengundi melihat kempen yang sedang berjalan lebih kepada persaingan antara parti politik dan calon-calon yang bertanding.
“Mereka (pengundi) tidak mengaitkan secara langsung lah isu yang berlaku di antara Undang dan Yang di-Pertuan Besar dengan pertikaian politik yang berlaku,” kata Pengarah Eksekutif Hisommudin Bakar, lapor Astro Awani.
Ilham Centre juga mendapati isu adat tidak disentuh dalam kempen terbuka. “Di kedai kopi dan bersembang itu berlaku tetapi tidak dalam skala yang besar,” tambahnya.
Isu adat di Negeri Sembilan tercetus pada 19 April apabila bekas undang Luak Sungei Ujong Mubarak Dohak dan tiga undang yang lain yang mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilucutkan takhta sebagai Yang di-Pertuan Besar.
Kerajaan negeri pimpinan Aminuddin Harun ketika itu menolak pengisytiharan tersebut, dengan menyatakan bahawa Mubarak sendiri telah pun dilucutkan jawatannya sebelum itu.
Pertikaian politik tercetus selepas semua 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin, berikutan cara beliau mengendalikan pertikaian tersebut.
Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada semua parti politik agar tidak mengheret institusi diraja Negeri Sembilan dalam kempen PRN.
Menurut Anwar, pertikaian yang sedang berlaku tidak mempunyai tempat dalam politik pilihan raya, menegaskan sistem perlembagaan sedia ada di Negeri Sembilan mesti dihormati.
Negeri Sembilan akan ke peti undi pada 1 Ogos.
