
JELEBU: Penduduk Felda Pasoh 4 menggesa paip lama di kawasan berkenaan diganti susulan gangguan bekalan air yang kerap berlaku sehingga menjejaskan urusan harian termasuk perniagaan, persekolahan dan keperluan keluarga.
Mereka mendakwa, masalah itu semakin ketara sejak kebelakangan ini dan berharap tindakan menyeluruh diambil pihak berwajib bagi menyelesaikannya secara kekal.

Khairul Senawi, 48, tidak menyalahkan mana-mana pihak, namun berharap penggantian paip lama kepada baharu dapat dilakukan segera.
“Keadaan sekarang menyebabkan bekalan air tidak menentu, sekejap ada…sekejap tiada. Dalam tempoh setahun gangguan air kerap berlaku sehingga menyukarkan penduduk,” katanya ketika ditemui FMT.

Katanya, ada penduduk terpaksa membeli air mineral untuk memasak dan membersihkan diri apabila gangguan berlaku tanpa pemakluman awal.
Menurutnya, masalah itu turut berlaku ketika musim perayaan dan kematian di kampung tersebut sehingga menyukarkan urusan penduduk.

“Pernah berlaku gangguan sehingga berminggu-minggu dan penduduk terpaksa bergotong-royong mendapatkan bekalan air, termasuk mengambil dari kilang sawit menggunakan enjin penyedut untuk mencuci,” katanya.

Fazli Abdul Hamid, 36, berkata gangguan terbaru berpunca daripada paip pecah, namun tindakan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (Sains) menghantar lori tangki membantu mengurangkan kesulitan penduduk.
“Apabila tiada air, urusan harian seperti membasuh pakaian menjadi sukar. Apabila hari persekolahan, penggunaan air perlu dicatu dan kami terpaksa mandi sekali sahaja bagi menjimatkan air,” katanya.

Warga emas, Senawi Ramli, 76, yang menetap di Felda Pasoh sejak 1978, berkata masalah gangguan air paling ketara dirasai sejak awal tahun ini.
Katanya, penggantian paip perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan berperingkat bagi mengelakkan masalah sama berulang.
“Kalau bil air meningkat sedikit selepas penggantian paip, kami tidak kisah asalkan masalah gangguan air dapat diselesaikan,” katanya.

Peniaga makanan, Mastura Masran, 45, berkata gangguan bekalan air memberi kesan kepada perniagaannya kerana terpaksa membatalkan tempahan pelanggan apabila tidak dapat menyediakan makanan.
Sementara itu, kakitangan Sains hanya mahu dikenali sebagai Mohamad memaklumkan pihaknya akan terus membantu penduduk termasuk menghantar lori tangki ketika gangguan berlaku.
Katanya, usaha penambahbaikan perkhidmatan turut dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan air kepada pengguna berada pada tahap lebih baik.
