
KUALA LUMPUR: Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Siber, yang bertujuan untuk memperkukuh kerangka perundangan dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
RUU yang mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal itu digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara selepas dibahaskan oleh 21 ahli Dewan Negara dan dipersetujui tanpa pindaan di peringkat jawatankuasa.
Ketika menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Rubiah Wang, berkata semua kesalahan di bawah RUU Jenayah Siber boleh diekstradisi kerana memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun.
Beliau berkata bawah Akta Ekstradisi, mana-mana kesalahan yang membawa hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun dikategorikan sebagai kesalahan yang boleh diekstradisi.
“Memandangkan hukuman penjara minimum yang diperuntukkan di bawah RUU Jenayah Siber ialah tiga tahun, maka secara automatik semua kesalahan di bawah RUU ini turut boleh diekstradisi,” katanya.
Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa menerusi mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA), Interpol, Aseanapol, kerjasama antara pasukan serta pelaksanaan Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber.
Beliau berkata bagi mendapatkan keterangan dan bukti digital, termasuk melaksanakan penggeledahan dan penyitaan di luar negara serta menjejak lokasi pelaku, kerajaan akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah.
Beliau berkata RUU Jenayah Siber tidak mengawal selia teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) secara khusus, sebaliknya memberi tumpuan kepada tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan teknologi itu bagi tujuan jenayah seperti penipuan, manipulasi pilihan raya serta eksploitasi seksual.
Kerajaan turut menegaskan RUU itu tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara, kebebasan media mahupun penyelidikan akademik yang dijalankan secara sah di sisi undang-undang.
“Sebarang tindakan hanya boleh diambil apabila semua elemen kesalahan yang diperuntukkan berjaya dibuktikan melalui proses penyiasatan dan prosiding mahkamah mengikut prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi bagi bacaan kali kedua hari ini.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
