
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki membuat kenyataan di media sosial yang mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan kira-kira 1 tengah hari di IPD Seremban bagi membantu siasatan.
Katanya, sebuah telefon bimbit milik suspek turut dirampas.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan reman,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah serta tidak mengeluarkan, memuat naik atau menyebarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam.
