
PETALING JAYA: Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempelawa keluarga Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, yang memerlukan penempatan baharu untuk tinggal di tanah milik Baginda di Kuala Wau.
Baginda yang menyebut kelompok itu sebagai ‘Orang Kita’ membuat pelawaan berkenaan susulan laporan media yang masyarakat berkenaan berdepan pertikaian tanah yang didakwa melibatkan kawasan mencari hasil hutan, sumber sara hidup dan tapak penting bagi amalan budaya lebih 1,000 penduduk.
Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Mohamed Zahari Yahya berkata Tunku Azizah menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap kesulitan dihadapi penduduk serta berkata Baginda sentiasa mengikuti perkembangan isu itu.
“Demi perasaan kasih dan tanggungjawab, Paduka Baginda dengan penuh ihsan mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot, Maran, yang memerlukan penempatan untuk berpindah dan tinggal di tanah milik Paduka Baginda di Kuala Wau, Maran,” katanya dalam kenyataan.
Zahari berkata Tunku Azizah turut memberi jaminan penduduk yang menerima pelawaan itu tidak akan dipinggirkan atau kehilangan tempat tinggal sekiranya tanah berkenaan dibangunkan pada masa depan.
Menurutnya, pelawaan itu tidak terhad kepada masyarakat Orang Kita Kampung Sungai Cot sahaja
“Mana-mana masyarakat Orang Kita yang memerlukan tempat berteduh atau penempatan baharu juga dipersilakan tinggal di tanah milik Paduka Baginda di Kuala Wau, Maran setelah mendapat perkenan Ke bawah Duli Paduka Baginda Tuanku dan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Paduka Baginda berharap pelawaan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan, selain memastikan kebajikan masyarakat Orang Kita terus terbela tanpa mengira latar belakang atau keadaan,” katanya.
Pada masa sama, Tunku Azizah menggesa semua pihak mengutamakan permuafakatan, sikap saling menghormati dan rundingan dalam mencari penyelesaian yang adil serta menjaga kepentingan pihak terlibat.
“Paduka Baginda turut berharap segala usaha sedang dan akan dilaksanakan oleh pihak-pihak berkaitan dapat menghasilkan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan masyarakat Orang Kita serta keharmonian Pahang,” kata Zahari.
Pertikaian itu mendapat perhatian selepas Juliana Jazlin Ismail, 34, bersama anak perempuannya berusia tujuh tahun, melakukan perjalanan dari Maran untuk membawa kebimbangan masyarakatnya kepada perhatian kerajaan.
Juliana dilaporkan berjalan kaki dan menumpang kenderaan dalam perjalanan kira-kira 200km menuju kediaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Selangor.
Anwar kemudian berkata beliau akan membangkitkan pertikaian berkenaan dengan kerajaan Pahang kerana urusan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Beliau turut mengesahkan tiga penduduk Kampung Sungai Cot yang ditahan polis susulan pertikaian itu sudah dibebaskan.
