
PETALING JAYA: Ah Yauddin Ahmad, seorang penjual minuman di Klang yang tular menjaga isterinya, Roslina Yusuf sambil bekerja di pasar malam seperti pernah dilaporkan FMT sebelum ini, meninggal dunia pada usia 64 tahun.
Anak perempuan, Siti Nur Aliah, memberitahu FMT yang Ah Yauddin telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada Rabu lalu, selepas mengalami patah tulang paha kanan.
Allahyarham kemudiannya disahkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru pada Jumaat. “Pada hari Jumaat, dia ‘okay’ sahaja… masih boleh bercakap. Tapi, bila hari Sabtu tu dia terus sesak nafas,” katanya.
Keadaan ayahnya semakin merosot dengan Allahyarham meninggal dunia pada 10.20 malam semalam.
Lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak cik air balang’, kisah Ah Yauddin menarik perhatian ramai selepas satu video memaparkan dia sedang bekerja, sambil menjaga isterinya tular di TikTok.
Ah Yauddin menjual air balang di pasar malam sekitar Meru dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur, sejak beberapa tahun lalu.
Roslina, 57, meninggal dunia pada Oktober tahun lalu selepas lima tahun menderita penyakit akibat angin ahmar dan kencing manis yang menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong. Mereka mendirikan rumah tangga hampir 40 tahun.
Susulan liputan oleh FMT dan media lain, Ah Yauddin menerima pelbagai sokongan daripada orang ramai, pempengaruh, serta Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Nur Aliah, 22, pula ditawarkan tempat oleh Mara mengikuti kursus pembuatan kuih-muih dan Bakeri di GiatMara Klang selepas sebelum ini berhenti belajar demi menjaga ibunya.
