
GEORGE TOWN: Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim meminta polis menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kes pemerdagangan orang yang dibongkar di Berapit bagi memastikan semua individu terlibat, termasuk dalang sindiket, dikenakan tindakan segera.
Menteri pembangunan usahawan dan koperasi itu berkata, kejayaan polis khususnya IPD Seberang Perai Tengah dan Bukit Aman membongkar serta membanteras sindiket tersebut membuktikan komitmen dan kecekapan pasukan penguat kuasa dalam menangani jenayah rentas sempadan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada polis … pada masa sama, saya minta polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk terus mempertingkat usaha penguatkuasaan dan pemantauan bagi membanteras kegiatan pemerdagangan orang serta sindiket penipuan yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pejabatnya akan terus mengikuti perkembangan kes itu dengan rapat, selain bekerjasama dengan agensi penguat kuasa termasuk polis dan Jabatan Imigresen bagi memastikan langkah pencegahan diperkukuh.
Jumaat lepas, Ketua Polis Pulau Pinang Dennis Lim Kwang Keng berkata, pasukan keselamatan itu membongkar kegiatan pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah premis di Berapit dengan menyelamatkan seorang wanita Cameroon yang dipercayai dikurung dan dieksploitasi.
Polis turut menahan seorang lelaki Taiwan yang dipercayai bertindak sebagai majikan dan pengendali kegiatan itu selain menahan 29 warga asing termasuk sembilan yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah.
