Pemuda PH gesa menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

cabinet meeting
BN mempunyai 14 menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan yang kebanyakannya daripada Umno manakala seorang lagi Parti Bersatu Rakyat Sabah. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Angkatan Muda Harapan (AMH) menggesa semua menteri dan timbalan menteri Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan daripada Kabinet susulan kerjasama terbuka parti itu dengan Perikatan Nasional (PN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Gabungan sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa perkembangan berkenaan menimbulkan persoalan terhadap komitmen sebenar BN dalam kerajaan perpaduan.

Dalam kenyataan bersama, AMH berkata tindakan BN bekerjasama dengan PN menunjukkan gabungan pimpinan Zahid Hamidi tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan diberikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada mereka dalam kerajaan.

“AMH percaya bahawa peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri oleh BN merupakan langkah wajar diambil untuk mengurangkan kekeliruan rakyat terhadap modus operandi BN, agar BN boleh menghentikan sikap ‘talam dua muka’ dan memastikan formula baharu BN-PN yang didiam-diamkan boleh direalisasikan sepenuhnya.

“Peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri BN turut dapat mengurangkan risiko sebarang percubaan menebuk atap yang boleh menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan, dan memberikan ruang kepada kerajaan untuk menumpukan sepenuhnya usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Semalam, Zahid berkata kerjasama politik yang mempertemukan calon BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan disifatkan sebagai medan menguji formula penyatuan Melayu dan Islam sekali gus berpotensi menjadi asas kepada jajaran politik baharu menjelang PRU16.

Katanya, kepimpinan menyeru pengundi memberikan sokongan kepada calon BN dan PN dengan menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai peluang untuk ‘membetulkan keadaan’ di peringkat negeri sebelum diterjemahkan pada skala nasional.

Menurutnya, kerjasama itu bukan bertujuan menentang kerajaan persekutuan sebaliknya menghormati komitmen Umno dan BN yang terus menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sehingga tamat penggal.

BN mempunyai 14 menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan yang kebanyakannya daripada Umno manakala seorang lagi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Pada PRN Negeri Sembilan, PH bertanding di semua 36 DUN secara solo, manakala BN-PN mencapai persefahaman dengan masing-masing meletakkan calon di 25 dan 11 kerusi.

Mengulas lanjut, AMH berkata kenyataan Zahid menunjukkan kerjasama BN-PN bukan lagi bersifat sementara atau taktikal, sebaliknya persediaan ke arah pembentukan jajaran politik baharu yang menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen BN dalam kerajaan perpaduan.

“Tamak hilang malu, loba dapat kebiasaan. Kenyataan sebegini secara jelas menunjukkan BN ternyata tidak lagi menghargai semangat kerjasama dengan PH dalam kerajaan perpaduan, meskipun memegang jawatan timbalan perdana menteri, beberapa jawatan menteri, dan jawatan-jawatan penting lain dalam kerajaan perpaduan.

“Hakikatnya, kerajaan Pulau Pinang dan Selangor telah sekian lama diterajui oleh gabungan PH. Namun, PH tetap memperuntukkan jawatan exco kepada BN selepas PRN 2023 demi menghormati semangat kerajaan perpaduan,” katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Penerangan AMH merangkap Naib Ketua Pemuda Amanah, Ammar Atan; Setiausaha Publisiti DAPSY, Ho Chi Yang; Ketua Penerangan Pemuda PKR, Danish Hairudin dan Pengarah Biro Komunikasi Wanita Muda Amanah, Syazana Nasir.

Author: admin