
PETALING JAYA: Pasukan siasatan ditubuhkan bagi meneliti isu kerugian RM200 juta melibatkan pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dalam syarikat eFishery, Indonesia, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya Abd Halim Aman, berkata siasatan sudah bermula sejak semalam.
Katanya, siasatan akan dilaksanakan adil, telus, dan saksama berlandaskan peruntukan undang-undang.
“Susulan itu, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini bagi mengelak kekeliruan serta menjaga integriti proses siasatan,” katanya menurut Berita Harian.
Kelmarin, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dalam jawapan bertulis Parlimen, mendedahkan KWAP diperdaya menyalurkan USD47.7 juta atau kira-kira RM200 juta kepada syarikat pemula akuakultur berpangkalan di negara jiran itu.
Anwar menyifatkan pelaburan eFishery tersebut merupakan satu penipuan terancang dan terdapat manipulasi laporan kewangan oleh pihak pengurusan eFishery.
Katanya, beberapa pelabur institusi antarabangsa dan dana teknologi turut mengalami kerugian daripada pelaburan itu, termasuk Temasek Holdings Pte Ltd dan Northstar Group dari Singapura serta Softbank Group dari Jepun.
Tahun lalu, Pengasas bersama eFishery, Gibran Huzaifah, dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun oleh sebuah mahkamah di Bandung, Indonesia, selepas didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Pada 2024, Gibran digantung daripada syarikat itu atas ketidakaturan hasil. Dalam wawancara bersama Bloomberg, beliau mengaku memanipulasi kewangan eFishery, namun menafikan terbabit dalam pecah amanah.
Anwar berkata, konsortium pelabur termasuk KWAP dalam proses mendapatkan semula jutaan ringgit yang hilang akibat pelaburan dalam syarikat itu.
