Kanak-kanak terdedah pornografi seawal sekolah rendah, kata pakar

Dari kiri: Dr Fatimah Ahmad Fauzi, Muhamad Ashraf Rostam, Dr Nik Sumayyah Nik Mhd Nor dan Dr Aliyyah Mohammad Khuzaini ketika program ‘Training of Trainers Impress’ di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak kini terdedah kepada pornografi seawal sekolah rendah, ketika pemilikan peranti sendiri membolehkan mereka mengakses internet tanpa pengetahuan ibu bapa, kata pakar.

Penolong Profesor Jabatan Sains Pemakanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Muhamad Asyraf Rostam berkata, keadaan itu membimbangkan kerana bahagian otak yang mengawal pemikiran rasional belum matang sepenuhnya ketika kanak-kanak mula menemukan kandungan berkenaan.

Muhamad Asyraf Rostam
Muhamad Asyraf Rostam.

Beliau berkata demikian pada sesi ‘Bahaya pornografi dan bijak dunia siber dalam program ‘Training of Trainers Impress’ di Hospital Tunku Azizah (HTA).

Program anjuran Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HTA dengan kerjasama Malaysians Against Pornography itu dirasmikan Azlin Hazeri, isteri Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

“Data yang mencemaskan adalah mereka sudah menonton seawal sekolah menengah, malah sekarang sudah masuk ke awal sekolah rendah,” kata Asyraf.

“Anak-anak belum matang dari segi pemikiran rasional dan lebih mudah melakukan sesuatu mengikut emosi serta apa yang dirasakan menyeronokkan.”

Asyraf berkata, pornografi tidak boleh dilihat semata-mata sebagai masalah akhlak kerana pendedahan berulang boleh mempengaruhi sistem ganjaran otak, pemikiran dan tingkah laku.

“Pornografi bukan masalah teras. Ia isu ranting yang terhasil kerana masalah utamanya adalah tidak memahami seksualiti,” katanya.

“Ia bukan sekadar nilai buruk atau isu akhlak. Ada komponen biologi dan fisiologi yang boleh mempengaruhi cara seseorang berfikir.”

Menurutnya, rangsangan dopamin boleh mendorong pengguna mencari kandungan yang semakin berbeza untuk mendapatkan tahap kepuasan sama.

“Pada awalnya, mungkin seseorang menonton secara tidak sengaja atau menerima bahan daripada rakan,” katanya.

“Selepas itu, ia boleh meningkat kepada ketagihan kerana tontonan biasa tidak lagi memberikan kepuasan.”

Beliau turut memberi amaran bahawa pemangsa seksual menggunakan media sosial, permainan dalam talian dan aplikasi komunikasi untuk mengenali minat, pergerakan serta keadaan emosi kanak-kanak sebelum mendekati mereka.

“Pemangsa perlu tahu apa yang anak itu suka, di mana mereka pergi dan siapa idola mereka. Semua maklumat itu mungkin diberikan oleh kita sendiri atau anak-anak melalui media sosial,” katanya.

“Mereka mencari kanak-kanak yang kesunyian, bosan atau berasa diabaikan. Apabila anak menulis ‘saya sunyi’ atau ‘mak ayah selalu tiada’, pemangsa boleh masuk dengan mengatakan, ‘tak mengapa, abang ada’.”

Asyraf berkata, kecerdasan buatan turut membolehkan pemangsa mengubah wajah dan identiti untuk menyamar sebagai individu sebaya.

Oleh itu, ibu bapa perlu membina komunikasi terbuka, mengehadkan interaksi dengan orang tidak dikenali, mengaktifkan tetapan privasi dan menyimpan bukti sekiranya anak menerima mesej mencurigakan.

Sementara itu, Azlin berkata, pendidikan reproduksi, seksualiti dan sosial perlu dipandang sebagai sebahagian daripada usaha melindungi kesejahteraan keluarga.

Azlin Hazeri
Azlin Hazeri.

“Semua isu pendidikan reproduksi, seksualiti dan sosial anak-anak bukanlah isu yang boleh dianggap remeh. Ia berkaitan keharmonian, kesihatan dan kesejahteraan keluarga demi masa depan kita,” katanya.

Beliau berkata, anak-anak kini membesar dalam persekitaran yang jauh berbeza berbanding generasi terdahulu, dengan hampir segala maklumat boleh diperoleh melalui telefon.

“Anak-anak kita hari ini membesar dalam dunia digital. Ia seperti langit terbuka, segala-galanya berada di hujung jari dan tiada siapa boleh memastikan anak kecil terselamat daripada maklumat yang tidak baik,” katanya.

Azlin berkata, peserta latihan itu perlu membawa ilmu yang mereka perolehi keluar daripada dewan dan membantu ibu bapa yang tidak tahu bagaimana menghadapi ancaman baharu terhadap anak-anak.

“Tuan-tuan dan puan-puan ialah ejen Impress. Tugas anda adalah pulang ke tempat masing-masing, membawa modul ini ke rumah, kampung dan taman serta membantu ibu bapa yang kadang-kadang hilang arah dan tidak tahu dari mana hendak mula,” katanya.

Pakar Perubatan Obstetrik dan Ginekologi HTA Dr Nik Sumayyah Nik Mhd Nor berkata, Impress bermaksud ‘Ibu bapa Memantau Pendidikan Reproduksi, Seksualiti dan Sosial Anak-anak’.

Nik Sumayyah Nik Mhd Nor
Nik Sumayyah Nik Mhd Nor.

Katanya, program itu bukan diwujudkan untuk menambah satu lagi seminar dalam kalendar latihan, sebaliknya bagi memenuhi keperluan mendesak untuk melengkapkan ibu bapa dengan ilmu, kemahiran komunikasi dan keyakinan.

“Program ini bukan bertujuan mengajar anak-anak mengenai seks semata-mata seperti yang sering disalahfahami masyarakat,” katanya.

“Impress bertujuan membantu ibu bapa membina hubungan lebih erat dengan anak supaya mereka berani bertanya, berkongsi masalah dan mendapatkan pandangan ibu bapa sebelum mencari jawapan daripada internet atau orang yang salah.”

Nik Sumayyah berkata, ‘Training of Trainers’ bermakna peserta hadir sebagai bakal pendidik, mentor dan ejen perubahan yang akan menyampaikan ilmu itu di hospital, klinik kesihatan, sekolah, universiti, pejabat, masjid, surau serta komuniti masing-masing.

“Jika kita gagal membimbing mereka, internet akan membimbing mereka, media sosial akan menjadi rakan mereka dan pempengaruh yang tidak kita kenali akan membimbing mereka,” katanya.

“Kita mahu menjadikan Impress bukan sekadar program latihan, tetapi gerakan nasional yang memperkasakan ibu bapa, melindungi anak-anak dan membina generasi lebih sihat, selamat dan bermaruah.”

Program itu merangkumi lima modul mengenai peranan ibu bapa, asuhan dan komunikasi, pendidikan reproduksi dan seksualiti mengikut usia, rahsia peribadi dan sentuhan selamat serta bahaya pornografi dan keselamatan siber.

Turut membentangkan modul, Pakar Pediatrik Universiti Sains Islam Malaysia Dr Aliyyah Mohammad Khuzaini, dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia Dr Fatimah Ahmad Fauzi.

Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866), yang diluluskan Parlimen dan berkuat kuasa pada 1 Jan lepas, mewajibkan penyedia perkhidmatan berlesen mengambil langkah mengurangkan pendedahan kepada kandungan berbahaya, menyediakan mekanisme aduan dan melindungi pengguna bawah umur.

Kandungan berbahaya itu merangkumi bahan penderaan seksual kanak-kanak, kandungan lucah atau tidak senonoh serta kandungan berbentuk ancaman dan gangguan.

Author: admin