
PETALING JAYA: J Arul Kumar yang juga Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, bakal berdepan saingan lima penjuru bagi mempertahankan kerusi DUN Nilai pada PRN Negeri Sembilan.
Arul, yang mewakili DUN Nilai sejak 2013, kini dalam misi mempertahankan kerusi itu untuk penggal keempat berturut-turut.
Beliau dicabar oleh calon Barisan Nasional (BN), Lai Chien Kong, calon Bersatu, V Saravan Kumar, calon Berjasa, Zamani Ibrahim, serta calon Bebas, Omar Isa.
Nilai merupakan sebuah kerusi campuran dengan majoriti pengundinya terdiri daripada kaum Melayu (42.5%), diikuti kaum Cina (32.6%) dan India (21.9%). Kerusi itu terletak dalam Parlimen Seremban yang diwakili Loke sejak 2013.
Pada PRN 2023, Arul memenangi kerusi Nilai dengan majoriti besar sebanyak 10,889 undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang calon Perikatan Nasional (PN). Ketika Pakatan Harapan (PH) dan BN bertanding sebagai sekutu.
Pada pilihan raya kali ini, BN bekerjasama dengan PN, manakala PH bertanding solo di semua 36 kerusi yang dipertandingkan.
PRN Negeri Sembilan akan berlangsung pada 1 Ogos, manakala pengundian awal dijadualkan pada 28 Julai.
(subhead) Satu lagi pertembungan lima penjuru di kerusi PKR
Sementara itu, satu lagi pertembungan lima penjuru berlaku di kerusi PKR DUN Sri Tanjung, apabila penyandangnya, Dr G Rajasekaran, berusaha mempertahankan kerusi tersebut bagi penggal kedua.
Calon PH itu akan dicabar oleh calon BN, A Achutan, calon Bersatu, M Leevineshwaran, serta dua calon Bebas, A Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudin.
DUN Sri Tanjung, yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson, merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada 37.2% Melayu, 31.5% Cina dan 28.3% India.
Pada PRN 2023, Rajasekaran memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,996 undi.
